Murphy's law

Murphy's law
Showing posts with label Pandangan. Show all posts
Showing posts with label Pandangan. Show all posts

17 Jul 2015

Keamanan sejagat dengan sains

Sekadar coretan ringkas.

Tempoh hari sewaktu aku pulang dari kerja, seperti biasa aku akan mendengar radio BFM. DJ pada petang itu adalah Umapagan dan tetamu jemputan adalah Fabien Bouhier. Kalau apa yang aku dengar betul, beliau adalah seorang ahli fizik amatur. Begitu minatnya beliau pada sains fizik sehinggakan beliau belajar sendiri menerusi kelas online di internet.

Fabien pernah juga hadir sebelum ini di BFM, membincangkan topik-topik lain yang berkaitan dengan sains juga; antaranya sains di sebalik Interstellar (filem tahun 2014) dan sains di sebalik Back To The Future. Tetapi kali ini, Fabien sedang mempromosikan buku yang beliau tulis baru-baru, bertajuk 'Down the Quantum Hole'.

Sepanjang wawancara antara Fabien dengan Umapagan itu, beliau ada mengatakan untuk mencapai keamanan dunia (world peace), pelajarilah sains. Bagaimana, tidak pula beliau jelaskan. Tetapi sudah cukup untuk membuatkan aku berfikir; betul juga.

Aku setuju dengan apa yang Fabien katakan itu. Untuk mencapai keamanan sejagat, sains boleh jadi penyelamat. Kerana apabila difikirkan balik, setakat pengetahuan dan pemahaman aku yang sedia ada, sains ini sangat empirikal. Apabila ia sesuatu yang empirikal, sukar untuk ia berada di dalam ruang kelabu. Kerana kewujudan ruang kelabu inilah, yang mewujudkan perbezaan pendapat.

Mungkin kita sekarang ini terlalu berbicara perihal manusia; "pendapat saya", "pendapat kamu", "pendapat mereka". Mengapa tidak untuk seketika, sebagai contohnya kita cuba sekali sekala meneroka ilmu astronomi. Aku yakin, kita tidak akan ada masa untuk cari salah hujah itu, cari salah hujah ini, apabila kita sedang kagum dan terpesona dengan luasnya ruang angkasa.

Mungkin itulah apa yang dimaksudkan oleh Fabien. Jika kita sibuk berbicara pula akan perihal kejadian bintang, putaran bumi, betapa luasnya hamparan fabrik angkasa; mungkin barulah kita akan sedar bahawa bukan manusia semata-mata yang berada di pusat alam ini. We're not the center of the universe. Kita ini hanyalah makhluk yang tinggal di bumi, di dalam jutaan planet, di tengah-tengah jutaan galaksi yang lain. Kita ini kerdil sahaja. Bila kita sedar akan keadaan itu, mungkin kita akan lebih mudah berlapang dada menerima perbezaan yang ada pada orang lain.

Sekadar pandangan dua sen dari diri ini.

Oleh Sharir Shazni

19 Jun 2015

Fanatisma Sebuah Kehidupan



Fanatisma adalah lawan bagi kelenturan. Fanatisma tidak mahu mengakui bahawa jika kita hidup berdasarkan prinsip-prinsip yang benar maka kita akan memperoleh hasil yang baik, dan bila kita mengalami kegagalan maka itu disebabkan ketidaktahuan kita akan prinsip-prinsip yang benar, atau kita sebenarnya sudah tahu hanya saja tidak memahaminya. Kalangan fanatis beranggapan bahawa kegagalannya disebabkan oleh orang lain, bukan akibat pilihan yang diambilnya. Mereka memegang teguh suatu keyakinan begitu sahaja tanpa pernah berusaha memahaminya, enggan mengakui kemungkinan bahawa perubahan cara berfikir akan membuat perbezaan. Mereka mengalami kebuntuan berfikir dan melepaskan rasa kekecawaan mereka dengan menyalahkan dan membenci orang lain.

Keteguhan atau sikap istiqamah berbeza dari fanatisma. Keteguhan dan kesabaran dikenal secara umum sebagai prinsip kearifan. Memerlukan tempoh waktu, baik sebentar atau lama hingga suatu upaya mencapai keberhasilan. Kita harus istiqamah menetapi suatu pilihan dan terus berupaya meraih tujuan hingga kita mencapai keberhasilan. Berbeza dari orang yang fanatis, orang yang kukuh atau istiqamah boleh bersikap lentur dalam pendekatan yang dilakukannya. Ia fokus pada upayanya sendiri dan berjuang menemukan cara agar segala upayanya menjadi lebih efektif.

Komuniti yang membolehkan diskusi bebas mengenai sistem keyakinan mereka cenderung lebih mampu mengambil hikmah. Sebaliknya komuniti yang melarang terjadinya diskusi kritis akan menjadi masyarakat yang pegun dan kalah maju dari kelompok masyarakat yang lebih dinamik.

Jika kita ingin bergerak maju, mencurahkan tenaga untuk membenci orang yang menindas kita bukanlah tindakan yang bijak. Itu tidak membantu kita untuk menyuarakan, secara berkesinambungan, bahawa musuh kita bersikap tidak adil dan kejam dan bahawa mereka telah merampas hak kita. Pertanyaannya bukan siapa yang menindas kita, tetapi apa gerangan yang membuat kita begitu lemah sehingga orang lain boleh menindas kita. Kita harus memperbaiki cara berfikir, kita perlu mengubah diri sendiri.

Kita boleh belajar dari mereka yang lebih kuat. Kita mesti memperhatikan bagaimana mereka menjalankan urusan mereka. Mereka lebih kuat kerana mewujudkan beberapa prinsip utama lebih baik daripada kita.

"Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab Suci yang mengandungi mukjizat. (Tetapi lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah menurut kehendak Allah), bahkan segala urusan tertentu bagi Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki tentulah Ia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya, (lalu menjadikan mereka semuanya beriman). Dan orang-orang yang kafir itu (dengan sebab kekufuran mereka) sentiasa ditimpa bala bencana (ke atas diri atau harta benda mereka); atau pun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka (lalu menjadikan mereka gempar kecemasan), sehinggalah datang janji Allah (hari kiamat dan azabnya); Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya."

Ar-Ra'd: 31 

Prinsip-prinsip universal mengenai kearifan sudah banyak diketahui, termasuk di antaranya ketelusan, keimanan, kejujuran, kasih sayang, keberanian, kemurahan hati, doa, sikap proaktif, mahu mencari ilmu, dan seterusnya. Sudah menjadi janji Allah bahawa sesiapapun yang hidup dengan benar, yakni hidup mengikuti prinsip yang benar, akan bertahan dan berkembang. Sebaliknya, sesiapapun yang hidup tidak berdasarkan aturan ini, pasti akan musnah. Allah tidak pilih kasih kepada ras atau kelompok bangsa tertentu. AturanNya mengenai keberhasilan dan kegagalan berlaku bagi semua makhluk, sepanjang masa.

24 May 2015

"Pendapat aku betul kerana aku jumpa fakta yang menyokong"

Anda tidak suka akan GST, satu sistem cukai yang baru untuk menggantikan yang lama, SST. Kemudian anda pun terus membuka komputer mahupun telefon pintar anda untuk mencari fakta dan pendapat pakar ahli ekonomi yang mengusulkan bahawa GST ini tidak betul, memberi beban dan tidak relevan. Anda jumpa hujah-hujah itu. Lalu anda pun puas hati kerana memang betul apa yang anda rasakan selama ini. GST sememangnya tidak bagus.

Awas, anda sudah berada dalam kepompong 'confirmation bias'.

Merujuk pada contoh situasi di atas, ya mungkin betul apa yang diperkatakan oleh para ahli ekonomi tentang GST itu; bahawa ia lebih membawa mudarat daripada membawa kebaikan. Tetapi anda juga harus meneliti hujah-hujah atau fakta lain yang mengatakan GST itu ada baiknya. Anda sepatutnya tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa GST itu buruk tanpa melihat juga hujah-hujah yang mengatakan GST itu ada kebaikannya. Jika anda hanya mencari fakta yang membantah, anda sebenarnya bukan di dalam perjalanan mencari kebenaran, tetapi perjalanan mencari kepastian terhadap apa yang anda sudah percaya sebelum ini.

'Confirmation bias' ini boleh terjadi dalam mana-mana aspek kehidupan. Ia adalah 'default setting' di dalam otak kita, kerana kita sememangnya makhluk yang tidak suka keluar dari zon selesa. Kita sukakan kepastian. Kita akan resah apabila berdepan dengan sesuatu yang berlawanan dengan apa yang kita percaya atau pegang selama ini. Oleh itu, secara automatisnya kita akan hanya mendengar, membaca atau menonton yang seiring dengan kepercayaan kita. Menjadikan keadaan itu lebih bahaya bilamana kita terus mencapai konklusi bahawa segala apa yang kita baca itulah jawapan hakiki.

Jika anda terfikir untuk membeli kereta baru, tiba-tiba anda ternampak di jalan raya ramai pula orang yang memandu kereta idaman anda itu. Jika baru sahaja putus cinta, tiba-tiba lagu di radio semuanya berkisar tentang cinta. Tapi hakikatnya, ia bukanlah 'tiba-tiba'. Anda sahaja yang merasakan sebegitu, kerana secara tanpa sedar anda telah berfikir secara memilih. 'Selective thinking'. Sebaik sahaja anda berada dalam satu-satu 'state of mind', minda anda hanya akan memilih elemen-elemen dari luar yang mematuhi keadaan minda anda pada ketika itu.

Melawan hipotesis adalah salah satu kaedah asas dalam mana-mana disiplin ilmu. Sama sahaja dalam hal kehidupan seharian, apabila berlaku apa-apa konflik, kita sebagai orang tengah perlu mendengar daripada kedua-dua belah pihak. Apabila kita meneliti semua hujah yang ada, sesuatu kata putus atau kesimpulan lebih dapat dicapai dengan tepat. Mana mungkin kita tahu satu-satu perkara itu betul, kalau tidak melihat satu perkara lain yang salah?

Di dalam setiap eksperimen sains misalnya, pengkaji akan membuat hipotesis dan kemudiannya akan merekacipta satu eksperimen untuk melawan hipotesis itu. Paling minima, sampel perlu dikelaskan kepada dua bahagian; yang dikawal dan yang dimanipulasi pembolehubahnya. Contohnya, eksperimen untuk menentukan samada ada kehadiran air memberi kesan terhadap tumbesaran benih. Hipotesisnya; benih memerlukan air untuk bercambah. Sebiji benih akan dibekalkan air yang secukupnya. Sebiji benih yang satu lagi tidak dibekalkan air. Di akhir tempoh eksperimen, pengkaji akan membuat pemerhatian. Benih yang punya air yang cukup dapat bercambah dengan baik, manakala benih yang tiada air tidak bercambah. Hipotesis diterima. Dengan kehadiran sampel yang antitesis (benih yang tiada bekalan air), kesimpulan yang tepat dapat dicapai.

Bagaimana boleh kita mengatakan masakan ibu adalah paling sedap dalam dunia kalau tidak pernah sekali merasakan masakan kawan serumah? Bagaimana kita boleh mengatakan kereta bercat hitam lebih panas kalau tidak diuji dan dibandingkan dengan kereta bercat putih? Bagaimana boleh kita mengatakan agama Islam ini benar kalau tidak diteliti kitab-kitab agama lain?

Akhir kata, terimalah perkongsian dan pendapat saya ini sebulat-bulatnya.

;)

Oleh Sharir Shazni

8 May 2015

Seputar isu 'Artificial Intelligence'


Disebabkan perbicaraan mengenai topik 'artificial intelligence' ini adalah sesuatu yang masih lagi di dalam ruang lingkup hypothetical, di mana AI seperti Ultron masih tidak tercapai di alam realiti ini, makanya saya sekadar mampu untuk menulis dalam konteks pandangan peribadi. Berdasarkan fakta-fakta anekdot semata-mata yang tidak disokong oleh fakta-fakta empirikal.

Bagi sesiapa yang telah menonton filem terbaru Avengers: Age of Ultron, atau pun sekadar sempat menonton trailer filem tersebut, pasti anda tahu bahawa Ultron adalah sebuah (atau seorang?) robot yang punya kesedaran atau mindanya sendiri. Punya AI. Ultron merasakan manusia ini adalah faktor utama yang menyumbang kepada kerosakan alam dan maka wajarlah manusia ini dihapuskan serta-merta. Dan penonjolan watak AI yang jahat sebegini adalah bukan sesuatu yang baru dalam dunia Hollywood atau dalam mana-mana media fiksyen yang lain. Tetapi jangan pula dilupakan filem-filem lain yang turut sama menyentuh isu AI, seperti A.I. Artificial Intelligence, Bicentennial Man atau yang paling baru, Chappie. Watak utama iaitu robot dalam filem-filem ini menampilkan AI yang 'baik'. Tidak memberi ancaman kepada manusia malah di satu tahap, menyelamatkan manusia.

Apakah itu intelligence?

Sebelum kita bicara dengan lebih lanjut mengenai AI, kita perlu lihat dahulu, apakah itu 'intelligence'?

Jawapan pendek; saya tidak tahu dan tidak jumpa jawapannya.

Jawapan panjang; tiada kata putus yang boleh dicapai oleh para pemikir sehingga sekarang. Kerana intelligence atau kebijaksanaan adalah sesuatu yang sangat subjektif dan apabila seseorang mahu membincangkannya, ia perlu juga disertakan sekali dengan membicarakan juga apakah itu consciousness (kesedaran). Dan konsep 'kesedaran' itu juga sesuatu yang sukar untuk dikaji dan diuji. Ia masih di dalam konteks falsafah. Pelbagai persoalan boleh ditimbulkan apabila bercakap mengenai intelligence ini. Kebijaksanaan itu pula adakah hanya dalam konteks kognitif semata-mata? Bagaimana pula dengan keupayaan seseorang untuk menilai emosi manusia? Perbincangan ini boleh juga adalah sesuatu perkara yang relatif mengikut peredaran masa dan budaya.

Pendekatan secara top-down dan bottom-up

'Top-down' dan 'bottom up'. Kedua-dua ini adalah satu pendekatan dalam menghasilkan satu sistem AI.

Apabila anda ingin hasilkan robot yang terus mampu untuk berfikir, mengira, menulis, membaca dan bercakap sebaik saja anda menghidupkannya, itu adalah pendekatan secara top-down. Bermaksud, anda telah menulis program di dalam 'otak' robot itu dari awal pembikinannya. Serta-merta dia sudah tahu bagaimana untuk berkelakuan dan berfikir seperti manusia. Contoh mudah, Ultron.

Bottom-up pula adalah yang disebaliknya. Mesin atau robot itu perlu belajar beberapa kemahiran tertentu untuk betul-betul dikatakan bijak. Seperti bayi yang baru lahir. Ia perlu belajar secara 'trial and error'. Perlu selalu membuat kesilapan dan dalam masa yang sama perlu kenal kesilapan itu dan tidak akan mengulanginya di masa depan. Seperti bayi kecil yang membesar. Contoh mudah, boleh dilihat dalam filem Chappie. Dan bagi saya, pendekatan ini yang lebih menyerupai manusia.

Dua cara pendekatan ini punya kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Top-down memerlukan kapasiti pemprosesan komputer yang tinggi untuk membuat kiraan atau keputusan dalam masa yang sangat pantas. Bottom-up pula, seakan anak yang membesar, akan mengambil masa yang lama.

Kerisauan yang melanda

Stephen Hawking mengatakan bahawa usaha untuk membangunkan teknologi AI ini adalah sesuatu yang bahaya. Beliau takut sistem AI ini nanti akan mahu bebas dan tidak mahu menurut kod asas programnya. Menurut pendapat-pendapat pemikir lain pula, kemungkinan sistem AI ini akan mencapai satu konklusi bahawa manusia hanyalah sekadar susunan atom yang membentuk suatu jasad yang sama sahaja dengan haiwan, tumbuhan atau batuan dan pepasir di bumi ini. Manusia sekadar pembolehubah (variable) dalam persamaan matematik yang membentuk alam semesta. Seperti dalam persamaan matematik dan eksperimentasi sains, pembolehubah boleh dimanipulasikan; sama ada untuk ditambah, ditolak atau dihapuskan secara terus. Kerana apa yang penting, matlamatnya adalah untuk mencapai keseimbangan persamaan matematik itu. Kelangsungan hidup alam semesta secara keseluruhan.

Pada pendapat saya, kekhuatiran ini ada asasnya juga. Tetapi harus juga diingat, manusia memang takut pada sesuatu yang mereka tidak tahu. Fear of the unknown. Orang pada zaman dahulu takut untuk belayar jauh kerana khuatir apabila sampai di hujung dunia, kapal akan jatuh di tebing lautan.

Hakikatnya pada waktu sekarang, AI sudah ada di sekeliling kita. Apabila anda selesai menonton satu video di YouTube, akan disertakan cadangan video di sebelah kanan untuk tontonan yang seterusnya, berdasarkan jenis video yang anda tonton sebentar tadi. Enjin carian Google akan betulkan ejaan atau penyusunan ayat anda dalam mencari maklumat yang anda cari itu. Aplikasi smartphone Waze akan membetulkan laluan anda jika anda terlepas selekoh tadi. Semua ini adalah satu sistem AI yang memberi manfaat pada manusia. Tetapi dalam bentuk yang primitif.

Penutup bicara

Jalan terbaik, jika anda yang membaca ini punya aspirasi dan cita-cita untuk menghasilkan satu sistem AI secanggih JARVIS, teruskan kajian anda. Kerana apa yang menariknya dalam bidang AI ini, secara tidak langsung kita akan dapat belajar mengenai diri kita sendiri. Apakah yang menyebabkan kita punya consciousness? Bagaimana kebijaksanaan ini terbentuk? 

"Manusia sebaik-baik ciptaanNya"


Oleh Sharir Shazni