Murphy's law

Murphy's law
Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

17 Jun 2015

Di Mana Letaknya Ia ?


Setelah belasan atau puluhan tahun kita hidup, bagaimanakah interaksi kita dengan Al-Quran? Bagaimanakah kualiti bacaan Al-Quran kita? Bagaimanakah pula dengan penghayatan kita terhadap apa yang tertulis dalam Al-Quran? Sejauh manakah kita merasakan bahawa Al-Quran itu hidup dalam hati kita, dan hidup kita secara keseluruhannya adalah berpandu kepada sibghah(acuan) Al-Quran? Persoalan-persoalan ini mungkin akan menimbulkan jawapan-jawapan yang dianggap cliche'.

“Eh, aku dah khatam dah waktu darjah 5 dulu tau!”. 

“Takpalah, aku tak pandai sangat baca Quran, segan la nak tadarus”.

“Kalau ada masa lapang aku baca la Quran”.

“Alah, aku baca jer, tak pernah tengok pun maknanya. Takpa, dapat pahala juga”.

Kalau begini layaknya sikap kita terhadap Al-Quran, bagaimanakah mungkin diri kita itu terbentuk dengan Al-Quran? Bagaimanakah mungkin Al-Quran itu menjadi panduan agung dalam kehidupan kita sedangkan kita tak pernah mengetahui sekalipun pengertiannya dan kefahamannya? Maka kita harus menyelami hati dan mula memikirkan, bagaimana seharusnya kita bersikap terhadap Al-Quran? Adakah dengan mengambilnya sebagai bahan bacaan ‘mengisi masa lapang’ atau ‘mesti’ cari masa untuk dibaca? Adakah dengan menjadikannya bahan bacaan atau bahan rujukan dalam segenap kehidupan?


Ya, Al-Quran dengan bait-bait kata yang sama inilah yang menjadi perubah kehidupan sebuah bangsa Arab Jahiliah menjadi Khairu Ummah(ummah terbaik). Al-Quran dengan mesej yang sama sejak dulu inilah yang menjadi inspirasi terbebasnya Constantinopel di tangan Islam. Al-Quran dengan suruhan dan tegahan yang sama sejak dulu inilah yang menjadi sebab tertegaknya pemerintahan Islam. Namun, mengapakah kita tidak menjadi sebegitu hebat dengan Al-Quran ini? Adakah salah Al-Quran atau salah Umat Islam?



Tadabbur. Itulah kunci yang akan memberikan impak Al-Quran dalam kehidupan kita. Menghayati dengan ertikata yang sebenar, meyakini dengan sepenuhnya dan membawa segala mesej tersebut untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Al-Quran bukan semata-mata untuk para qari yang sedap dan merdu bacaannya. Al-Quran juga bukan hanya untuk ahli tafsir yang diberikan petunjuk oleh Allah untuk menggali segala persoalan dalam Al-Quran. Al-Quran bukan hanya untuk ustaz-ustaz yang memetiknya untuk dijadikan bahan ceramah. Namun Al-Quran untuk semua, untuk panduan umat manusia secara keseluruhannya. Maka setiap daripada kita wajib mendalami dan menghayati Al-Quran, menjadi ‘Al-Quran yang bergerak’, hidup dengan acuannya.
Firman Allah:

“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
(An-Nisa’: 82)

“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” (Muhammad: 24)

Maka sekarang kita perlu mengubah orientasi pemikiran. Kalau sebelum ini Al-Quran itu kita anggap sebagai bahan bacaan, sekarang mari melangkah setapak dengan menjadikannya sebagai bahan penghayatan. Bahan rujukan untuk segenap isu dalam kehidupan. Bahan penyelesaian kepada segala permasalahan yang dialami dan dirasai. Berpandukan kepada kitab-kitab tafsir yang ditulis oleh para Ulama’ seperti Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Fi Zilalil Quran Syed Qutub dan tafsir-tafsir lain, kita selak dan kita dalami Al-Quran. Insya-Allah, hidup kita akan menjadi semakin terarah dan semakin membaik kerana kita mengambil sebuah panduan yang tidak bengkok sama sekali.

“Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).” (Al-Kahfi: 1)

Jom kita berubah bersama Al-Quran!

Selamat Menyambut Ramadhan !

24 May 2015

"Pendapat aku betul kerana aku jumpa fakta yang menyokong"

Anda tidak suka akan GST, satu sistem cukai yang baru untuk menggantikan yang lama, SST. Kemudian anda pun terus membuka komputer mahupun telefon pintar anda untuk mencari fakta dan pendapat pakar ahli ekonomi yang mengusulkan bahawa GST ini tidak betul, memberi beban dan tidak relevan. Anda jumpa hujah-hujah itu. Lalu anda pun puas hati kerana memang betul apa yang anda rasakan selama ini. GST sememangnya tidak bagus.

Awas, anda sudah berada dalam kepompong 'confirmation bias'.

Merujuk pada contoh situasi di atas, ya mungkin betul apa yang diperkatakan oleh para ahli ekonomi tentang GST itu; bahawa ia lebih membawa mudarat daripada membawa kebaikan. Tetapi anda juga harus meneliti hujah-hujah atau fakta lain yang mengatakan GST itu ada baiknya. Anda sepatutnya tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa GST itu buruk tanpa melihat juga hujah-hujah yang mengatakan GST itu ada kebaikannya. Jika anda hanya mencari fakta yang membantah, anda sebenarnya bukan di dalam perjalanan mencari kebenaran, tetapi perjalanan mencari kepastian terhadap apa yang anda sudah percaya sebelum ini.

'Confirmation bias' ini boleh terjadi dalam mana-mana aspek kehidupan. Ia adalah 'default setting' di dalam otak kita, kerana kita sememangnya makhluk yang tidak suka keluar dari zon selesa. Kita sukakan kepastian. Kita akan resah apabila berdepan dengan sesuatu yang berlawanan dengan apa yang kita percaya atau pegang selama ini. Oleh itu, secara automatisnya kita akan hanya mendengar, membaca atau menonton yang seiring dengan kepercayaan kita. Menjadikan keadaan itu lebih bahaya bilamana kita terus mencapai konklusi bahawa segala apa yang kita baca itulah jawapan hakiki.

Jika anda terfikir untuk membeli kereta baru, tiba-tiba anda ternampak di jalan raya ramai pula orang yang memandu kereta idaman anda itu. Jika baru sahaja putus cinta, tiba-tiba lagu di radio semuanya berkisar tentang cinta. Tapi hakikatnya, ia bukanlah 'tiba-tiba'. Anda sahaja yang merasakan sebegitu, kerana secara tanpa sedar anda telah berfikir secara memilih. 'Selective thinking'. Sebaik sahaja anda berada dalam satu-satu 'state of mind', minda anda hanya akan memilih elemen-elemen dari luar yang mematuhi keadaan minda anda pada ketika itu.

Melawan hipotesis adalah salah satu kaedah asas dalam mana-mana disiplin ilmu. Sama sahaja dalam hal kehidupan seharian, apabila berlaku apa-apa konflik, kita sebagai orang tengah perlu mendengar daripada kedua-dua belah pihak. Apabila kita meneliti semua hujah yang ada, sesuatu kata putus atau kesimpulan lebih dapat dicapai dengan tepat. Mana mungkin kita tahu satu-satu perkara itu betul, kalau tidak melihat satu perkara lain yang salah?

Di dalam setiap eksperimen sains misalnya, pengkaji akan membuat hipotesis dan kemudiannya akan merekacipta satu eksperimen untuk melawan hipotesis itu. Paling minima, sampel perlu dikelaskan kepada dua bahagian; yang dikawal dan yang dimanipulasi pembolehubahnya. Contohnya, eksperimen untuk menentukan samada ada kehadiran air memberi kesan terhadap tumbesaran benih. Hipotesisnya; benih memerlukan air untuk bercambah. Sebiji benih akan dibekalkan air yang secukupnya. Sebiji benih yang satu lagi tidak dibekalkan air. Di akhir tempoh eksperimen, pengkaji akan membuat pemerhatian. Benih yang punya air yang cukup dapat bercambah dengan baik, manakala benih yang tiada air tidak bercambah. Hipotesis diterima. Dengan kehadiran sampel yang antitesis (benih yang tiada bekalan air), kesimpulan yang tepat dapat dicapai.

Bagaimana boleh kita mengatakan masakan ibu adalah paling sedap dalam dunia kalau tidak pernah sekali merasakan masakan kawan serumah? Bagaimana kita boleh mengatakan kereta bercat hitam lebih panas kalau tidak diuji dan dibandingkan dengan kereta bercat putih? Bagaimana boleh kita mengatakan agama Islam ini benar kalau tidak diteliti kitab-kitab agama lain?

Akhir kata, terimalah perkongsian dan pendapat saya ini sebulat-bulatnya.

;)

Oleh Sharir Shazni

10 Apr 2015

Sifat ingin tahu

Ada orang begitu seronok apabila dapat mengetahui dan mempelajari sesuatu yang baru. Ia seolah-olah satu 'dadah' buat mereka yang punya keingintahuan yang tinggi ini. Walaupun mereka tahu sesuatu perkara itu tidak akan dipraktikkan pun pada kehidupan seharian mereka. Anda bekerja di pejabat yang menjalankan urus niaga biasa, jadi apa gunanya untuk anda tahu perihal planet mana yang sesuai untuk diduduki manusia?

Manusia adalah makhluk yang istimewa. Kita punya kapasiti akal dan kebolehan untuk pergi dengan lebih jauh selepas tercetusnya ingin tahu itu di dalam benak pemikiran seseorang manusia. Kerana haiwan-haiwan lain pun punya sifat sebegitu, cuma mereka tidak ada struktur otak dan fizikal seperti manusia untuk menjalankan ujikaji, penerokaan, mempersoalkan dan lain-lain.

Manusia begitu berkeingintahuan akan kehidupan seekor bakteria, pembakaran 'fusion' dalam matahari atau kitaran air di bumi. Tetapi, apakah sebenarnya sifat ingin tahu itu? What is curiosity?

Motivasi keingintahuan

Terdapat dua teori berkenaan mengapa individu itu punya perasaan keingintahuan yang amat kuat. Teori pertama adalah apa yang dipanggil sebagai 'drive theory'. Iaitu rasa ingin tahu itu tercetus dalam benak fikiran itu sendiri. Teori ini mengatakan keingintahuan itu adalah suatu kemahuan manusia yang boleh dikatakan sama seperti rasa lapar, dahaga mahupun seks. Ia adalah satu keperluan pada seseorang itu yang perlu sentiasa dipenuhi. Dan apabila ia dipenuhi, satu kepuasan buat dirinya. Beberapa kajian menunjukkan rembesan dopamin memainkan peranan dalam hal ini. Dopamin adalah satu kompaun dalam sistem biologi tubuh badan yang sering dikaitkan dengan keseronokan. Jadi kadangkala, mereka akan belajar sesuatu benda itu atas sebab mahu belajar semata-mata. Learning for the sake of learning.

Teori kedua adalah 'incongruity theory'. Dari segi istilah, 'incongruity' ini adalah tidak konsisten. Maka teori ini mengatakan, sifat ingin tahu itu tercetus hasil dari rangsangan luar. Rangsangan luar yang dimaksudkan adalah apa-apa fenomena yang berlaku pada seseorang itu yang pada dirinya, tidak pernah berlaku sebelum ini dan lain dari norma alam. Contoh situasi: pada waktu malam Muthu ternampak satu leretan cahaya merentasi langit. Muthu merasakan itu adalah sesuatu yang luar biasa kerana cahaya yang ada pada langit malam selalunya adalah dari bintang-bintang dan bulan. Jadi di sini, atas keadaan langit malam yang tidak konsisten dan tidak norma seperti pada malam-malam sebelumnya, timbullah rasa ingin tahu dalam diri Muthu untuk tahu dengan lebih mendalam apakah leretan cahaya itu.

(Tidak ada kaitan pada mana-mana Muthu yang sedang memerhatikan langit malam. Jika ada, saya doakan anda untuk menjadi ahli astronomi yang tersohor. Kita sudah ada Komet Halley, mungkin akan ada pula Komet Muthu.)

"Curiosity is one of the forms of feminine bravery" - Victor Hugo

Oleh itu, rasa ingin tahu atau keingintahuan itu boleh terjadi kerana ia adalah ciri peribadi individu itu, atau sekadar kesan tindak balas. Maka sesuailah untuk saya mengatakan kebanyakan golongan pemikir punya sifat ini.

Keingintahuan itu juga adalah satu sifat yang berguna untuk keluar dari kepompong ketakutan. Pada pendapat saya, mungkin lebih sesuai untuk memberi nasihat pada anak-anak atau sahabat yang dikatakan penakut, untuk punya rasa ingin tahu berbanding sifat berani. Contohnya, terjaga dari tidur dan terasa tubuh badan begitu berat sekali. Tangan dan kaki tak boleh bergerak dalam tempoh masa tertentu. Sekarang, pilihan di tangan untuk terus takut dan berfikir hantu yang menghempap tubuh anda atau cuba mencari jawapan atas apa yang berlaku sebentar tadi. Adakah ia berkaitan dengan biologi tubuh badan? Silakan, cari.

Jika ilmu itu ibarat lampu kereta yang menerangi jalan gelap, maka sifat ingin tahu itu adalah 'sparkplug'. Ia adalah pencetus akan segala-gala penerokaan, penemuan, kemajuan pada segala-gala bidang ilmu di dunia ini. Kalau anda berpeluang untuk bersama dengan mana-mana anak kecil, cuba anda teroka apakah persoalan yang sedang berlegar di benak pemikiran anak itu. Kerana kadang-kala, soalan-soalan mereka ini begitu ganjil berbanding soalan-soalan yang kita sebagai dewasa ini selalu utarakan. Apabila kita meningkat dewasa, tanpa sedar minda akan dibentuk oleh 'norma' masyarakat dan sudah terbiasa dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Tanpa timbul rasa untuk tahu pun akan mengapa sesuatu perkara itu boleh berlaku. Mengapa awan itu putih warnanya? Mengapa langit itu biru pada tengah hari, dan oren pula di kala senja?

Bacaan lanjutan

Saya sarankan pada sesiapa yang mahukan dosej-dosej pengetahuan yang menarik, boleh melawat laman-lawan web atau saluran YouTube ini:


Saluran YouTube Vsauce
Saluran YouTube Smarter Every Day


Oleh Sharir Shazni

6 Mar 2015

Aku Musuh, Bukan Kawan




Aku musuh kamu. Tapi tidak semestinya aku ini bukan dari golonganmu mungkin aku sebahagian darimu juga. Kini, kalau dikatakan musuh, ramai terfikir dan bersangka aku bukan dari kalangan orang mereka. Ala-ala secret agent yang menyusup dalam sesuatu organisasi ataupun macam cerita Captain America: Winter Soldier, mungkin itu aku.

Aku tak nak gagasan, ide dan citra mental asalmu berkembang dan tersebar seluruh dunia. Maka, aku kena menyusun langkah dan rencana secara teliti tersusun dan sangat licik. Apabila gagasan, ide dan citra mental asalmu tersebar dan diterima oleh mereka yang bukan dari golonganmu juga orangmu, kelak wujudlah pelbagai peraturan, undang-undang, budaya dari gagasanmu. Aku musuhmu, tidak sekali aku menerima gagasan itu.

Lalu, aku ada list tentang beberapa strategi dan rancangan untuk menyusup masuk ke dalam pemikiran orang-orangmu. Menguasai pemikiran mereka adalah kunci bagi pintu kejayaan aku. Alhasil, kemandulan, kecacatan dan kelumpuhan dari segenap dimensi fitrah manusiawi mereka tercapai. Mereka tidak akan mampu buat apa-apa.

Pertama, aku tahu mereka ada yang dinamakan iman. Dan iman mereka ni turun naik, naik hingga digelar soleh ataupun turun hingga digelar munafik ataupun fasik. Aku bukan mahu mereka keluar dari kelompokmu, tapi hanya menjadi duri dalam dagingmu. Kerna itu, aku akan make sure iman mereka susah nak naik, lalu turun dan menurun. Mustahil bagi aku memastikan iman mereka tidak naik, tetapi sukar untuk naik itu prioriti aku. Kamu dan mereka, ada nafsu serupa macam manusia lain. Kalau lelaki mudah sahaja, nafsu mereka bukan shopping atau barang kemas tetapi perempuan. Aku berikan mereka perempuan, tapi bukan seperti dulu ala-ala perempuan simpanan atau pelacuran. Mereka kini cerdik, benda-benda seperti itu mereka nampak jelas haram, jijik atau kotor. Aku mahu tease sahaja orang-orang lelakimu ni, aku tayang dan beri sedikit sahaja. Bukan tunjuk semua, just to make sure iman mereka bergelojak deras dan panas. Kesanya, mereka sendiri yang akan berusaha cari jalan untuk berbuat maksiat, couple, zina, rogol, tonton video lucah dan sebagainya. Lalu mengapa harus aku susah perbanyakkan rumah urut atau rumah pelacuran yang hanya menjadi mangsa serbuan, denda, dan leceh sahaja untuk urusan apply lesen-lesen ni untuk dapat status legal. Itu baru sahaja aku rencanakan buat lelaki, bagaimana pula bagi kaum wanitamu?

Kedua, aku twist cara pandang kehidupan mereka. Memakaikan kacamata baru, yang lama aku biarkan mereka simpan, jauh dan terperuk biarkan berhabuk. Mereka kalau tahu tujuan hidup mereka sejak dari kecik atau di brainwash kan bile mereka boleh berfikir, aku memang akan kalah dan kerja aku semakin sukar. Mereka tidak pernah tahu bahkan disembunyikan dari pengetahuan mereka bahawa tujuan hidup mereka harus menyampaikan gagasanmu kepada mereka yang lain, keluarga, rakan, jiran, hatta pada pemimpin mereka sendiri. Kenapa mereka tidak tahu? Kerana telah aku dah sibukkan mereka dengan tujuan lain hingga ia suatu kepayahan buat mereka ingin menyusun masa atau mencari masa nak sampaikan gagasanmu ini. Aku sibukkan mereka dengan perkara-perkara yang nampak baik bagi mereka, kalau nampak jahat atau teruk, mereka akan sedar. Kita beri dan hiasi mereka melalui benda baik seperti belajar, kerja dan kemewahan. Adakah kamu tidak perlu semua itu? Tidak perlu belajar, tidak perlu cari kerja dan bekerja, tidak perlu kejar kemewahan? Bukan! Bukan mereka tidak perlu. Mereka perlu cuma aku sibukkan mereka sedikit sahaja supaya mereka nampak belajar, kerja, kemewahan ini tujuan hidup mereka tetapi bukan membina gagasan itu. Bagaimana ingin mereka nampak ia sebagai tujuan hidup mereka? Mudah! Aku jadikan sistem belajar atau pendidikan mereka sebagai doktrin untuk kejar kerja dan kemewahan itu sebagai suatu tujuan dan matlamat. Biarkan mereka dengan idea yang ingin aku tanamkan pada mereka, jika bukan straight A’s tidak dapat sambung belajar di overseas, jika bukan straight A’s adalah suatu kehinaan, jika bukan result yang bagus di universiti kelak sukar mendapat kerja. Apabila tidak dapat kerja bagus, gaji diperoleh sedikit. Apabila gaji sedikit kereta idaman bukan dalam capaian, gagal dan sukar membeli rumah besar-besar, barang kemas hanya dipandang disebalik kaca kedai emas dan permata, tiadalah shopping pakaian tapi hanya jalan mencuci mata. Bila tiada kemewahan, semua itu dianggap masyarakat sebagai teruk, hina dan ketinggalan. Tidak percaya? Lihatlah sekelilingmu dan masyarakatmu? Kesannya, masa mereka ini disibukkan dengan perkara-perkara yang aku sebut di atas tadi supaya mereka dapat capai apa yang dikata matlamat dan tujuan hidup mereka.

Konsekuensi dari kedua, mereka akan kejar dan ambil serta mencari masa yang lama tuk mereka rasa puas dengan semua itu. Ambil masa yang lama sampailah mereka sudah tua, lalu hilang kudrat dan lemah dalam mengusaha serta membina gagasanmu itu. Ada yang aku dengar seorang di antara kamu berkata gagasan kamu ini biarlah pendita-pendita dan budak-budak yang belajar tentangnya yang menguruskannya. Kerana yang tidak mengaji tidak mengetahui lalu lain yang diserunya. Aku tergelak dan mampu senyum nakal dengar alasan kawanmu itu. Lalu plan aku yang ketiga adalah based on alasan kawanmu itu. Aku rancang ingin jadikan pelajar-pelajar gagasan itu daripada mereka yang tak cemerlang dek mata golonganmu. Jalannya, aku pamerkan, jeritkan pada mereka sejak kecil bahawa kerjaya jurutera, doktor, arkitek, dan jurusan profesional semuanya daripada merekayang berada di kelas no 1 atau 2 di sekolahmu. Bila result peperiksaan keluar, mereka inilah yang akan cari dan mengambil aliran, kursus atau pengajian profesional di universiti. Inilah penangan dari apa yang aku tunjukkan pada mereka di dalam tv, internet, surat khabar yang golongan profesional ini akan hidup mewah, senang, pakai kereta besar dan suami yang segak, isteri yang hot sampai terliur mereka. Maka apa akan jadi pada mereka di kelas bawah-bawah? Mereka ini tiada choice selain ambil course teologi, business, sains social, politik, pentadbiran dan sebagainya. Hasilnya, mereka inilah yang akan jadi pendita-pendita yang mengejar popularity hingga tidak profesional dalam menyebarkan agamanya, cerita-cerita karut, mengambil kesempatan ke atas agama, manakala businessman pula akan jadi businessman yang korup, rasuah, menindas, cekik darah, yang politik sama juga, korup, penipu, mulut celupar, mencarut bagai, ambil kesempatan, dan yang pentadbiran hasilnya insan-insan yang malas, tak cekap dan efisyen, jenis tak ikut jadual, keluar minum, shopping waktu pejabat dan sebagainya.

Keempat, apabila mereka sudah diasingkan sedemikian rupa dan sudut pandang kehidupan mereka begitu, tugas aku hanyalah sustain kan mereka dengan mentaliti sebegitu. Caranya, aku bagi mereka bantuan. Alangkah baiknya aku. Aku beri mereka bantuan kewangan dan tajaan. Yang tajaan untuk mereka yang cemerlang dalam peperiksaannya maka diakhirnya mereka akan terikat dengan kontrak aku. Kerja dengan aku! Aku bantu mereka, mereka juga bantu aku. Aku beri dan sajikan pada mereka kemewahan, medan kerja dengan perempuan-perempuan yang mengiurkan dan kerja yang stress, hectic hingga kena stay kat pejabat. Jika tidak stay sekalipun, mereka akan balik lewat malam, jika tidak balik lewat malam sekalipun, mereka kena datang pejabat pada hari sabtu atau ahad. Kerah mereka sampai kering hingga tiada masa untuk keluarga dan gagasanmu. Apabila tiada masa untuk keluarga, mereka kurang mendidik isteri atau tegur suami mereka, ajar anak-anak mereka. Masa mereka sudah penuh, bahkan stress dan penuh emosi lalu wujudlah ketegangan antara ahli keluarga. Bergaduh, berentakkan dan kurang bahagia, hingga bercerai-berai bahkan ada yang berbunuhan. Bila mereka ingin belajar tentang gagasanmu, membina gagasanmu? Tiada! Maka dengan itu, mereka berusaha menghantar anak-anak mereka mengaji dan belajar dengan pendita-pendita, produk keluaran dari sistem yang aku aturkan. Mak ayah pula belajar, pergi mendengar syarahan, pidato dan pengajian daripada pendita-pendita dan graduan dari sistem yang sama. Itupun jika mereka ada keinginan pergi mengaji dan menghantar anak mereka belajar. Dan gagasan dan cara hidup yang mereka faham kekal begitu, masa berlalu hingga akhirnya itulah yang menjadi sudut pandang mereka dan menjadi budaya yang disangkakan, begitulah gagasan, ide dan citra mental yang mereka faham.

Terakhir, strategi kelima, aku mahu mereka yang kurang pandai ni terima tawaran pinjaman kewangan aku, baik pelajaran di universiti sampailah bantuan kewangan peribadi, rumah, kereta dan sebagainya. Yang pinjaman pelajaran, sebaik mereka habis belajar, mereka dikejar untuk membayar hutang-hutang mereka kepada aku. Aku kenakan bunga untuk caj servis dan sebagai profit, alhasil mereka akan kerja keras pagi petang siang malam, tidak cukup dengan gaji tetap hingga terpaksa cari kerja sampingan semata-mata ingin bebas dari belenggu hutang. Maka bilakah masa mereka dengan keluarga, anak-anak, masyarakat dan sebagainya? Akhirnya mereka sama sahaja seperti golongan pandai yang aku ceritakan di atas tadi. Yang pinjaman rumah, kereta dan peribadi nak kahwin pun begitu juga, sama sahaja. Hasilnya diorang menghabiskan masa-masa mereka dengan mencari duit untuk bagi kepada aku kembali. Akan aku kerahkan bala tentera aku, menyusup dalam segenap lapangan dan medan bagi merealisasikan idea ini. Menekan dan memaksa kamu dan golonganmu menerima dan hidup bersama sistem idea ini.

Hidup mereka aku seksa, kerah dan perah dengan kitaran yang aku sendiri setting kan tuk mereka. Sejak kecik aku tanamkan idea untuk mereka mengejar cita-cita yang mereka anggap tujuan hidup mereka. Mereka merasakan itulah kepuasan, kemasyhuran atas kemewahan yang mereka dapat dan perolehi. Kitaran yang sama aku lakukan pada binatang ternakan aku, bela dari kecil, duduk dalam kandang yang besar hingga merasakan tidak mampu untuk meruntuhkannya dan melarikan diri hatta sudah besar sekalipun kerana idea yang aku tanam dalam otak mereka. Beri makanan yang enak dan berkhasiat, rumput dan ragutan yang berkualiti tuk mereka gemuk lalu aku menjual pada peniaga-peniaga, dikilangkan dalam bungkusan-bungkusan terhias cantik tuk dikomersialkan. Akhirnya ke tangan manusia-manusia yang akan memakan mereka, makan sehingga kenyang dan gemuk, menghidapi penyakit-penyakit berbahaya lalu diulang kembali kepada aktiviti ternakan yang aku usahakan kerana permintaan, demand yang tinggi yang aku telah rencanakan dan rancangkan. Itulah kitaran sempurna, sebuah ekosistem yang aku cipta agar binatang ternakan aku tidak melawan dan tahu tujuan hidupnya hanya untuk diniagakan kepada manusia.

Aku musuh bukan kawan.

What do you expect?

5 Mar 2015

Ayuh 'hidupkan' diri

Kalau kau bernafas, kau akan berbicara.

Kalau kau bicara, kau akan menyoal.

Kalau kau soal, kau akan berfikir.

Kalau kau fikir, kau akan mencari.

Kalau kau mencari, kau akan mengalami.

Kalau kau alami, kau akan belajar.

Kalau kau belajar, kau akan membesar.

Kalau kau membesar, kau akan mengharap.

Kalau kau harap, kau akan jumpa.

Kalau kau jumpa, kau akan ragui.

Kalau kau ragui, kau akan mempersoal.

Kalau kau persoal, kan akan faham.

Kalau kau faham, kau akan tahu.

Kalau kau tahu, kau nak tahu lebih.

Kalau kau nak tahu lebih,

Kau 'hidup'.


Terjemahan dari iklan National Geographic Live Curious.




Oleh Sharir Shazni.

Eureka? Memento?


Langkah bermula

Fitrah manusia adalah suka berkongsi. Cerita jiran yang begitu rancak dikongsi di kedai mamak, inikan pula cerita sebuah robot bernama Curiosity yang sedang meneroka di Marikh. Begitu juga seperti kami. Penulis akan mencoret semampu mungkin tuk bacaan umum, santai dan mungkin meninggalkan tanda tanya tuk berfikir.

Atas semangat itulah, blog ini ditubuhkan. Objektif kami mudah, ingin berkongsi segala macam maklumat atau ilmu yang kami dapat melalui pembacaan, diskusi, ceramah, forum dan macam-macam tempat lagi, inshaallah (god willing) akan disampaikan di sini.

Tidak akan ada topik khusus yang akan disampaikan oleh para penulis. Kami akan bercakap mengenai pelbagai benda. Mungkin "wisdom" dari pelbagai lapangan dan medan baik dari filem, falsafah ringan fisik dan metafisik, mantik, senibina, bangunan parlimen di Jerman sekalipun hatta aneka saiz lubang hitam di angkasa. Selagi mana kami merasakan ia adalah ilmu dan kehidupan selagi itu kami akan kongsikan di sini.

Mengapa Eureka Memento?

'Eureka' adalah satu ungkapan yang sangat sinonim dengan Archimedes, seorang ahli matematik, fizik dan pencipta. Eureka bermaksud "I found it". Dan ia seringkali dikaitkan dengan saat penemuan solusi terhadap satu-satu permasalahan seseorang. "eureka ! eureka !"

'Memento' adalah apa-apa objek yang dijadikan satu ingatan, kenangan untuk memperingatkan si pemegang objek itu akan sesuatu peristiwa. Contoh, anda mengutip cangkerang di pantai sebagai satu memento lawatan anda di Pulau Perhentian, hatta sekeping gambar yang anda "capture" dengan DSLR kesayangan anda.

Eureka adalah isinya dan kami salutkan kemas menjadi memento buat anda. Moga yang ditulis akan menjadi satu saat eureka lalu kekal memento di minda anda.

Kekerapan entri

Penulis berusaha melayangkan entri secara konsisten seminggu sekali. Dengan izinNya, setiap Jumaat malam merupakan yang terbaru dari kami.

Moga usaha ini berterusan dan istiqamah dalam menjayakan blog ini. Kritikan, komentar, dan cadangan amat kami hargai.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.
Dengan izinNya, langkah bermula.