Murphy's law

Murphy's law

24 May 2015

"Pendapat aku betul kerana aku jumpa fakta yang menyokong"

Anda tidak suka akan GST, satu sistem cukai yang baru untuk menggantikan yang lama, SST. Kemudian anda pun terus membuka komputer mahupun telefon pintar anda untuk mencari fakta dan pendapat pakar ahli ekonomi yang mengusulkan bahawa GST ini tidak betul, memberi beban dan tidak relevan. Anda jumpa hujah-hujah itu. Lalu anda pun puas hati kerana memang betul apa yang anda rasakan selama ini. GST sememangnya tidak bagus.

Awas, anda sudah berada dalam kepompong 'confirmation bias'.

Merujuk pada contoh situasi di atas, ya mungkin betul apa yang diperkatakan oleh para ahli ekonomi tentang GST itu; bahawa ia lebih membawa mudarat daripada membawa kebaikan. Tetapi anda juga harus meneliti hujah-hujah atau fakta lain yang mengatakan GST itu ada baiknya. Anda sepatutnya tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa GST itu buruk tanpa melihat juga hujah-hujah yang mengatakan GST itu ada kebaikannya. Jika anda hanya mencari fakta yang membantah, anda sebenarnya bukan di dalam perjalanan mencari kebenaran, tetapi perjalanan mencari kepastian terhadap apa yang anda sudah percaya sebelum ini.

'Confirmation bias' ini boleh terjadi dalam mana-mana aspek kehidupan. Ia adalah 'default setting' di dalam otak kita, kerana kita sememangnya makhluk yang tidak suka keluar dari zon selesa. Kita sukakan kepastian. Kita akan resah apabila berdepan dengan sesuatu yang berlawanan dengan apa yang kita percaya atau pegang selama ini. Oleh itu, secara automatisnya kita akan hanya mendengar, membaca atau menonton yang seiring dengan kepercayaan kita. Menjadikan keadaan itu lebih bahaya bilamana kita terus mencapai konklusi bahawa segala apa yang kita baca itulah jawapan hakiki.

Jika anda terfikir untuk membeli kereta baru, tiba-tiba anda ternampak di jalan raya ramai pula orang yang memandu kereta idaman anda itu. Jika baru sahaja putus cinta, tiba-tiba lagu di radio semuanya berkisar tentang cinta. Tapi hakikatnya, ia bukanlah 'tiba-tiba'. Anda sahaja yang merasakan sebegitu, kerana secara tanpa sedar anda telah berfikir secara memilih. 'Selective thinking'. Sebaik sahaja anda berada dalam satu-satu 'state of mind', minda anda hanya akan memilih elemen-elemen dari luar yang mematuhi keadaan minda anda pada ketika itu.

Melawan hipotesis adalah salah satu kaedah asas dalam mana-mana disiplin ilmu. Sama sahaja dalam hal kehidupan seharian, apabila berlaku apa-apa konflik, kita sebagai orang tengah perlu mendengar daripada kedua-dua belah pihak. Apabila kita meneliti semua hujah yang ada, sesuatu kata putus atau kesimpulan lebih dapat dicapai dengan tepat. Mana mungkin kita tahu satu-satu perkara itu betul, kalau tidak melihat satu perkara lain yang salah?

Di dalam setiap eksperimen sains misalnya, pengkaji akan membuat hipotesis dan kemudiannya akan merekacipta satu eksperimen untuk melawan hipotesis itu. Paling minima, sampel perlu dikelaskan kepada dua bahagian; yang dikawal dan yang dimanipulasi pembolehubahnya. Contohnya, eksperimen untuk menentukan samada ada kehadiran air memberi kesan terhadap tumbesaran benih. Hipotesisnya; benih memerlukan air untuk bercambah. Sebiji benih akan dibekalkan air yang secukupnya. Sebiji benih yang satu lagi tidak dibekalkan air. Di akhir tempoh eksperimen, pengkaji akan membuat pemerhatian. Benih yang punya air yang cukup dapat bercambah dengan baik, manakala benih yang tiada air tidak bercambah. Hipotesis diterima. Dengan kehadiran sampel yang antitesis (benih yang tiada bekalan air), kesimpulan yang tepat dapat dicapai.

Bagaimana boleh kita mengatakan masakan ibu adalah paling sedap dalam dunia kalau tidak pernah sekali merasakan masakan kawan serumah? Bagaimana kita boleh mengatakan kereta bercat hitam lebih panas kalau tidak diuji dan dibandingkan dengan kereta bercat putih? Bagaimana boleh kita mengatakan agama Islam ini benar kalau tidak diteliti kitab-kitab agama lain?

Akhir kata, terimalah perkongsian dan pendapat saya ini sebulat-bulatnya.

;)

Oleh Sharir Shazni

20 May 2015

Peperiksaan dan Periksa



Lega rasanya bila peperiksaan atau segala bentuk pekerjaan yang dilaksanakan itu selesai dan selamat dijalankan. Sudah tentu rasa tenang dan gembira, kata sesetengah orang,  seperti sudah "merdeka". Perasaan seperti baru selesai mengangkat barang yang berat. Bila dapat rehat sebentar atau sudah sampai ke destinasi penghantaran, lelah itu diluahkan dengan puas.




Tapi itu bukanlah topik utama yang ingin dibincangkan di sini, tapi sedikit sebanyak ia memberi sedikit gambaran dan metafora perbandingan untuk cuba kita fahami dengan lebih mudah. Seperti peperiksaan, pelajar akan rasa cemas dan gelisah bila tiba musim peperiksaan kerana soalan yang bakal keluar tidak diketahui. Dan adakalanya walaupun soalan sudah bocor sekalipun, rasa gugup dan takut itu masih ada kerana bimbang di dalam dewan peperiksaan nanti.




"betul ker soalan yang bocor itu yang keluar?" atau ada juga hati mengeluh..



"tolonglah jangan cuai dalam dewan nanti".



Bermacam ragam dan reaksi yang kita ketahui bila tiba musim peperiksaan ni.




Peperiksaan di anggap sebagai kayu pengukur dari aspek kefahaman pelajar sepanjang tempoh sesuatu pembelajaran. Dan sudah semestinya yang dapat keputusan cemerlang itu mempunyai peluang yang lebih besar tuk memperolehi pelbagai imbuhan dan implikasi. Begitulah pentafsiran kita mutakhir ini. Majoritinya, masing-masing ingin berjaya, ia adalah fitrah sebagai seorang manusia yang menginginkan sesuatu yang indah dan kejayaan memuaskan hati masing-masing. Indah dan kejayaan itu tidak dinafikan, terdapat pelbagai cabang jalan dan menjadi keselesaan tuk seseorang itu memilih jalan dan cara tersendiri. Tapi, kejayaan dan kekayaan macam mana yang ingin kita raih?




"Dan menjadi hak Allah menerangkan jalan yang lurus, dan di antaranya ada jalan yang menyimpang. Dan jika Dia menghendaki, tentu Dia memberi petunjuk kamu semua (ke jalan yang benar)."   An-Nahl: 9




Yang menjadi asas sesuatu kejayaan dan kekayaan yang ingin kita kecapi baik di dunia dan di akhirat, pastilah yang bertunjangkan syariat Islam. Apa yang dimaksudkan syariat Islam? Ada sesetengah pihak menganggap Islam hanyalah mengongkong dari melakukan pelbagai perlakuan dan aktiviti di masa kini, hingga melabelkan Islam itu kolot dan sudah lapuk. Seperti yang digambarkan di atas, jika ingin berjaya dalam peperiksaan, sudah tentulah kena tahu dan faham, baik pemahamannya serta cerdas fikirannya untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan dalam kertas peperiksaan. Walaupun soalan sudah bocor sekalipun, masih ada kesilapan pada jawapannya, mengapa?




Kerana manusia ini mudah lupa, dan cepat lalai. Fokus dan ketelitian dalam menjawab itu sangat penting dan tidak dilupakan juga tawakal kepada Allah S.W.T kerana Dia yang sudah semestinya menentukan sama ada usaha berhasil atau tidak. Ok, sekarang cuba kita ambil gambaran menjawab peperiksaan ini dan juga menjalani kehidupan di atas muka bumi Allah azza wa jalla ini. Kehidupan kita saling tidak tumpah dengan situasi peperiksaan, dengan tidak dapat menduga soalan-soalannya begitulah juga kita yang tidak dapat menjangkakan ujian-ujian yang bakal Allah uji pada kita. Peperiksaan itu kira cukup elok lagi sebab kita tahu tarikh peperiksaan  untuk bersedia tapi ujian Allah, siapa yang sangka? Dan menjadi suatu kemestian bagi kita yang mengaku beriman dan mengucap lafaz syahadah untuk lebih dan sentiasa bersedia tuk hadapi ujianNYA.




Jika dalam pembelajaran kita adanya subjek dan silibus begitu juga dalam menghadapi ujian Allah S.W.T ada rangka pembelajarannya. Allah bukan kejam, Allah Maha Adil, jika dalam peperiksaan guru atau pensyarah tak bagi soalan bocor, pasti hura-hara dan tak senang duduk dibuatnya. Tapi Allah S.W.T telah bagi perkhabaran kepada kita, tips-tips dan pesanan tuk kita hadapi ujian. Allah telah turunkan Al-Quran kepada umat Muhammad S.W.T tuk bersedia menghadai akhir zaman ini di mana ujiannya sangatlah besar di mana Dajjal akan keluar untuk menyebarkan fitnah yakni kerosakan, tapi mengapa kita tidak endahkan khabaran dan tips-tips dari Allah ini?




"Dan (Al-Quran) ini adalah penjelasan (yang sempurna) bagi manusia, agar mereka diberi peringatan dengannya, agar mereka mengetahui bahawa DIA adalah Tuhan yang Maha Esa dan agar orang yang berakal mengambil pelajaran"   Ibrahim: 52




"Sungguh, telah berlaku sebelum kamu sunnah-sunnah (Allah) kerana itu berjalanlah kamu ke (segenap penjuru) bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orng yang mendustakan (para Rasul). Inilah (Al-Quran) suatu keterangan yang jelas untuk semua manusia, dan menjadi petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa."   Ali-Imraan: 137-138




"ala..manusia ada nafsu..sering lalai.."



"nanti aku taubatla.."



"tua nanti aku pergilah haji, taubat kat depan kaabah,mesti Allah makbulnya.."




Mungkin itulah kata-kata hati kita..Ya, memang manusia ada nafsu dan diganggu dengan pujuk rayu syaitan, dan bukannya Allah kejam. Allah sudah bagi tahu dalam Al-Quran dan melalui sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W untuk tidak termakan dengan segala pujuk rayu syaitan serta nafsu, bahkan itulah hikmahnya amar maa'ruf nahi munkar seperti yang diperintahkan. Syaitan sendiri mengakui di dalam Al-Quran bahawa janji-janji Allah itu benar, tapi masih kita mudah terpedaya kerana ceteknya ilmu dalam menghadapi ujian-ujian Allah S.W.T.




"Dan Syaitan berkata ketika perkara (hisab) telah diselesaikan, "sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri..."   Ibrahim: 22




Kita terlalu sombong dan bongkak di atas muka bumi ini. Lupa siapa Tuhan, siapa hamba, kalau orang gaji perangai macam kita ni, sudah tentu dah kena pecat dengan majikannya. Tapi Allah tidak, Allah tidak pecat dan buang kita dari agamaNya selagi kita masih tidak mensyirikkanNya. Bahkan Allah sentiasa memberi peluang untuk kita kembali padaNya. Dan ini bukanlah juga alasan untuk kita melengah-lengahkan taubat kita. Jika itulah detik dan niat di hati, kita khuwatir Allah sudah tutup dan butakan hati kita atau roh kita dijemput pulang sebelum pertaubatan.




"Maka masuklah pintu-pintu neraka Jahannam, kamu kekal di dalamnya. Pasti itu seburuk-buruk tempat orang yang menyombongkan diri."   An-Nahl: 29





Sebagai renungan kembali, jika peperiksaan kita mengambil berat untuk berjaya menjawabnya, maka janganlah kita meringan-ringankan tuk menghadapi ujian dari Allah. Jika peperiksaan kita sibuk belajar bersungguh-sungguh, maka bersungguh-sungguhlah juga untuk memahami intipati tujuan penciptaan kita agar tenang dan sejahtera iman dan amal kita untuk bertemu denganNya.  Jika peperiksaan itu menjamin peluang kerjaya serta kekayaan, maka Allah jua pemberi rezeki dan kejayaan itu. Jangan di anggap mudah tuk peroleh syurga kalau urusan dan tanggungjawab yang Allah berikan pun kita ambil tak endah.

Syurga itu dihuni para rasul dan nabi, maka penghuninya pastilah yang terbaik.

8 May 2015

Seputar isu 'Artificial Intelligence'


Disebabkan perbicaraan mengenai topik 'artificial intelligence' ini adalah sesuatu yang masih lagi di dalam ruang lingkup hypothetical, di mana AI seperti Ultron masih tidak tercapai di alam realiti ini, makanya saya sekadar mampu untuk menulis dalam konteks pandangan peribadi. Berdasarkan fakta-fakta anekdot semata-mata yang tidak disokong oleh fakta-fakta empirikal.

Bagi sesiapa yang telah menonton filem terbaru Avengers: Age of Ultron, atau pun sekadar sempat menonton trailer filem tersebut, pasti anda tahu bahawa Ultron adalah sebuah (atau seorang?) robot yang punya kesedaran atau mindanya sendiri. Punya AI. Ultron merasakan manusia ini adalah faktor utama yang menyumbang kepada kerosakan alam dan maka wajarlah manusia ini dihapuskan serta-merta. Dan penonjolan watak AI yang jahat sebegini adalah bukan sesuatu yang baru dalam dunia Hollywood atau dalam mana-mana media fiksyen yang lain. Tetapi jangan pula dilupakan filem-filem lain yang turut sama menyentuh isu AI, seperti A.I. Artificial Intelligence, Bicentennial Man atau yang paling baru, Chappie. Watak utama iaitu robot dalam filem-filem ini menampilkan AI yang 'baik'. Tidak memberi ancaman kepada manusia malah di satu tahap, menyelamatkan manusia.

Apakah itu intelligence?

Sebelum kita bicara dengan lebih lanjut mengenai AI, kita perlu lihat dahulu, apakah itu 'intelligence'?

Jawapan pendek; saya tidak tahu dan tidak jumpa jawapannya.

Jawapan panjang; tiada kata putus yang boleh dicapai oleh para pemikir sehingga sekarang. Kerana intelligence atau kebijaksanaan adalah sesuatu yang sangat subjektif dan apabila seseorang mahu membincangkannya, ia perlu juga disertakan sekali dengan membicarakan juga apakah itu consciousness (kesedaran). Dan konsep 'kesedaran' itu juga sesuatu yang sukar untuk dikaji dan diuji. Ia masih di dalam konteks falsafah. Pelbagai persoalan boleh ditimbulkan apabila bercakap mengenai intelligence ini. Kebijaksanaan itu pula adakah hanya dalam konteks kognitif semata-mata? Bagaimana pula dengan keupayaan seseorang untuk menilai emosi manusia? Perbincangan ini boleh juga adalah sesuatu perkara yang relatif mengikut peredaran masa dan budaya.

Pendekatan secara top-down dan bottom-up

'Top-down' dan 'bottom up'. Kedua-dua ini adalah satu pendekatan dalam menghasilkan satu sistem AI.

Apabila anda ingin hasilkan robot yang terus mampu untuk berfikir, mengira, menulis, membaca dan bercakap sebaik saja anda menghidupkannya, itu adalah pendekatan secara top-down. Bermaksud, anda telah menulis program di dalam 'otak' robot itu dari awal pembikinannya. Serta-merta dia sudah tahu bagaimana untuk berkelakuan dan berfikir seperti manusia. Contoh mudah, Ultron.

Bottom-up pula adalah yang disebaliknya. Mesin atau robot itu perlu belajar beberapa kemahiran tertentu untuk betul-betul dikatakan bijak. Seperti bayi yang baru lahir. Ia perlu belajar secara 'trial and error'. Perlu selalu membuat kesilapan dan dalam masa yang sama perlu kenal kesilapan itu dan tidak akan mengulanginya di masa depan. Seperti bayi kecil yang membesar. Contoh mudah, boleh dilihat dalam filem Chappie. Dan bagi saya, pendekatan ini yang lebih menyerupai manusia.

Dua cara pendekatan ini punya kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Top-down memerlukan kapasiti pemprosesan komputer yang tinggi untuk membuat kiraan atau keputusan dalam masa yang sangat pantas. Bottom-up pula, seakan anak yang membesar, akan mengambil masa yang lama.

Kerisauan yang melanda

Stephen Hawking mengatakan bahawa usaha untuk membangunkan teknologi AI ini adalah sesuatu yang bahaya. Beliau takut sistem AI ini nanti akan mahu bebas dan tidak mahu menurut kod asas programnya. Menurut pendapat-pendapat pemikir lain pula, kemungkinan sistem AI ini akan mencapai satu konklusi bahawa manusia hanyalah sekadar susunan atom yang membentuk suatu jasad yang sama sahaja dengan haiwan, tumbuhan atau batuan dan pepasir di bumi ini. Manusia sekadar pembolehubah (variable) dalam persamaan matematik yang membentuk alam semesta. Seperti dalam persamaan matematik dan eksperimentasi sains, pembolehubah boleh dimanipulasikan; sama ada untuk ditambah, ditolak atau dihapuskan secara terus. Kerana apa yang penting, matlamatnya adalah untuk mencapai keseimbangan persamaan matematik itu. Kelangsungan hidup alam semesta secara keseluruhan.

Pada pendapat saya, kekhuatiran ini ada asasnya juga. Tetapi harus juga diingat, manusia memang takut pada sesuatu yang mereka tidak tahu. Fear of the unknown. Orang pada zaman dahulu takut untuk belayar jauh kerana khuatir apabila sampai di hujung dunia, kapal akan jatuh di tebing lautan.

Hakikatnya pada waktu sekarang, AI sudah ada di sekeliling kita. Apabila anda selesai menonton satu video di YouTube, akan disertakan cadangan video di sebelah kanan untuk tontonan yang seterusnya, berdasarkan jenis video yang anda tonton sebentar tadi. Enjin carian Google akan betulkan ejaan atau penyusunan ayat anda dalam mencari maklumat yang anda cari itu. Aplikasi smartphone Waze akan membetulkan laluan anda jika anda terlepas selekoh tadi. Semua ini adalah satu sistem AI yang memberi manfaat pada manusia. Tetapi dalam bentuk yang primitif.

Penutup bicara

Jalan terbaik, jika anda yang membaca ini punya aspirasi dan cita-cita untuk menghasilkan satu sistem AI secanggih JARVIS, teruskan kajian anda. Kerana apa yang menariknya dalam bidang AI ini, secara tidak langsung kita akan dapat belajar mengenai diri kita sendiri. Apakah yang menyebabkan kita punya consciousness? Bagaimana kebijaksanaan ini terbentuk? 

"Manusia sebaik-baik ciptaanNya"


Oleh Sharir Shazni