Murphy's law

Murphy's law

11 Sept 2015

Logik: Deduktif dan induktif

*Isi artikel ini adalah terjemahan dan olahan daripada buku The Cartoon Introduction to Philosophy.


Falsafah bukan semata-mata untuk menyampaikan sesuatu idea. Ia perlu disertakan dengan tindakan untuk mempertahankan sesuatu idea itu. Kita tidak boleh menyuruh orang lain untuk mempercayai sesuatu idea itu hanya dengan memberitahu sumber atau dari mana datangnya idea itu sahaja. Untuk membuktikan idea itu benar; haruslah disertakan dengan justifikasi yang kukuh.

Maka dalam falsafah, adanya ‘logik’. Satu pengkajian mengenai hujah (argument) yang baik. Logik terbahagi kepada dua iaitu;

1) Deduktif : Hujah yang mempunyai konklusi yang kukuh berdasarkan premis-premis yang benar.

2) Induktif : Hujah yang dikemukakan berdasarkan kejadian-kejadian lalu (past events).


Deduktif

Aristotle menemukan empat ayat mudah dalam membuat sesuatu konklusi secara deduktif;
            Semua S adalah P.
            Sesetengah S adalah P.
            Bukan S adalah P.
            Sesetengah S adalah bukan P.

Apabila kita menggunakan mana-mana premis di atas lalu jadikannya sebagai hujah, konklusi yang tercapai pasti akan benar; selagi mana premis awal yang digunakan adalah betul.
Contoh:
            Semua A adalah B.
            Semua B adalah C.
            Maka, semua A adalah C.

Jika dua premis yang pertama adalah benar, maka konklusi di akhirnya akan menjadi benar.

Hujah deduktif adalah ibarat satu pendakian gunung yang curam. Setiap penambahan tinggi dakian bergantung pada kekukuhan langkah dakian itu. Setiap kebenaran yang terjana adalah disebabkan akan kebenaran premis yang sebelumnya. 

Untuk menghasilkan sesuatu hujah yang tepat, perlunya untuk mempunyai poin-poin yang defininya tepat dan assumption di mana semua pihak akur akan ketepatannya. Dengan kata lain; axiom.

Dalam metafora mendaki gunung kebenaran ini, axiom ibarat kayu pasak yang digunakan oleh pendaki untuk memegang dan memijak semasa pendakian tersebut. Jika kukuhnya kayu itu dipacakkan, semakin mudah pendakian itu lalu semakin bertambah ketinggian yang dicapai. Begitu juga halnya dalam perjalanan mencari kebenaran. Membina hujah dengan memastikan premis itu tepat dan kukuh.


Induktif

Tetapi kadang-kala realitinya, jarang sekali kita mempraktikkan kaedah deduktif dalam kehidupan seharian semasa merasionalisasikan apa-apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita lebih banyak berinduktif.

Ia adalah di mana sesuatu kesimpulan atau tanggapan yang dibuat adalah berdasarkan kepercayaan kita yang telah terbina lebih awal dan pengalaman lalu.

“Buah ini selalunya masam, maka masamlah ia bila aku makan nanti” atau,
“Dia itu selalunya lambat, maka hari ini pasti lambat lagi”.

Semua kesimpulan ini terbina dalam minda seseorang itu kerana ia pernah berlaku sebelum-sebelum ini dan berulang-ulang kali. Apabila hipotesis itu sering kali menjadi tepat, ia akan terbenam di dalam pemikiran kita bahawa ia adalah satu kepastian, satu peraturan atau undang-undang.

Akan tetapi, ‘undang-undang’ itu tidak semestinya adalah satu kebenaran mutlak seperti hujah yang terbina daripada cara deduktif yang mana menghasilkan satu kebenaran matematikal (mathematical truth). Kebenaran matematikal yang telah dibuktikan benar, akan kekal benar tanpa ada ruang yang boleh dicanggah.

Oleh itu, apabila menggunakan taakulan secara induktif, kita perlu akui bahawa ia boleh menjadi salah kerana kita sekadar menaakul berdasarkan pengalaman dan bukti yang terbaik setakat waktu itu.

Fallibilism; menerima hakikat bahawa akan ada sesuatu yang akan mengubah kepercayaan kita pada sesuatu perkara. Sesuatu itu benar sehingga dibuktikan salah.

Secara ringkasnya, deduktif ialah pembentukan hujah yang berdasarkan premis yang termaktub kebenarannya. Induktif pula berdasarkan pengalaman lalu dengan mengetahui bahawa ia mungkin salah.


Oleh Sharir Shazni

1 comment:

  1. Strange "water hack" burns 2 lbs overnight

    At least 160k women and men are utilizing a easy and secret "water hack" to lose 1-2 lbs every night in their sleep.

    It's very easy and works with everybody.

    This is how to do it yourself:

    1) Grab a clear glass and fill it with water half full

    2) Now use this weight loss HACK

    and you'll become 1-2 lbs skinnier the very next day!

    ReplyDelete