Murphy's law

Murphy's law

23 Mar 2015

Ectogenesis: Rahim tiruan


Gambar dari rhrealitycheck.org

Pada tahun 1924, seorang ahli saintis yang bernama John Burdon Sanderson Haldane (5 November 1892 hingga 1 December 1964) mengeluarkan satu idea di mana kelahiran seorang bayi tidak semestinya daripada rahim seorang ibu. Proses ini dinamakan ectogenesis. Ecto, daripada perkataan Greek iaitu outer, luar. Ectogenesis ini dengan kata lain, membolehkan tumbesaran fetus itu berlaku di luar rahim, iaitu di dalam satu kantung atau bekas yang mengandungi persekitaran yang seakan rahim seorang ibu, diisi oleh cecair amnion (air ketuban) yang dihasilkan dalam makmal, artificial atau tiruan. Tumbesaran fetus yang diinginkan itu boleh berlaku secara total, iaitu dari zigot ke bayi yang lengkap, atau sebahagian daripada trimester kandungan itu. Haldane membuat andaian teknologi ini tidak mustahil akan tercapai dan majoriti kelahiran manusia pada 2074 adalah menerusi ectogenesis.

Lain pula pendapat penulis dan futuris pada era kini, Zoltan Istvan. Berikutan dengan penemuan dan kajian yang terkini, Zoltan berpendapat ia boleh tercapai dalam 20 tahun akan datang.


Kajian terkini dan berkaitan

Dr Yoshinori Kuwabara adalah seorang penyelidik dari Universiti Juntendo yang terletak di Tokyo, Jepun. Matlamat kajian beliau adalah untuk mencari jalan bagi menyelamatkan kelahiran bayi pramatang dengan lebih baik dan berkesan. Pada tahun 1997, beliau berjaya mengeluarkan kandungan seekor kambing yang berusia 17 minggu dari rahim kambing tersebut lalu memindahkannya ke dalam bekas yang mengandungi cecair amnion tiruan. Teknik ini dinamakan sebagai 'extrauterine fetal incubation', proses yang melibatkan fetus itu diletakkan dalam satu bekas yang diisi dengan cecair yang suam, menyerupai cecair amnion. Nutrisi pula dibekalkan melalui tiub yang disambungkan ke tali pusat. Fetus kambing itu dapat hidup selama 3 minggu.

Seorang lagi saintis, Dr Helen Liu dari Universiti Cornell, USA fokusnya adalah mencari alternatif pada golongan ibu-ibu yang langsung tidak dapat untuk mengandungkan anak. Dr Helen berjaya membesarkan embrio tikus dengan meletakkan embrio itu dalam satu 'lipatan' tisu endometrium (tisu sel yang terdapat pada dinding rahim) dan semua ini berlaku dalam piring petri di  dalam makmal. Tetapi sayangnya kajian beliau hanya boleh berjalan selama 14 hari atas sebab-sebab perundangan pihak universiti. Sehingga kajian itu dihentikan, Dr Helen telah melaporkan embrio tikus itu sempat untuk mempunyai jantung yang berfungsi dan secara keseluruhannya ia sihat.

Ini adalah antara kajian yang berkaitan, di mana apabila digabungkan idea-idea ini, konsep ectogenesis adalah sesuatu yang tidak mustahil.

Kebaikan

Andai kata teknologi ini sudah dapat dicapai, atau seperti apa yang dibayangkan oleh J.B.S. Haldane, pada tahun 2074 hanya 30% sahaja daripada populasi manusia itu yang dilahirkan secara semulajadi, sudah tentu ia dapat menjadi satu alternatif kepada kumpulan sasaran yang tertentu. Tidak lain adalah ibu-ibu yang mengalami masalah untuk mengandungkan anak. Ada ibu-ibu yang seringkali mengalami keguguran kerana antara sebabnya, embrio itu tidak dapat melekat pada dinding rahim. Wanita yang rahimnya telah dikeluarkan terus daripada badan, prosedur hysterectomy, kerana jangkitan kanser rahim. Kadang kala ada juga ibu yang mempunyai kandungan kembar, lalu menyebabkan ruang rahim sudah tidak dapat membesar dan menjadi sempit, dan boleh mendatangkan risiko kepada ibu dan bayi-bayi itu. Jika mahu memperluaskan lagi kumpulan sasarannya, teknologi ini mungkin dapat membuka ruang kepada ibu-ibu yang berpangkat profesional. Di mana atas tuntutan tugas, kadang kala kehamilan menimbulkan 'kesukaran' pada sesetengah ibu berjawatan profesional ini.

Ectogenesis memberi peluang dengan menyediakan satu medium alternatif kepada fetus untuk membesar. Selain itu, tumbesaran fetus boleh dipantau dengan lebih teliti. Atas beberapa parameter yang ditetapkan, komputer akan memantau status fetus itu untuk memastikan ia terus sihat. Tambahan lagi, persoalan seperti intervensi luaran yang boleh menjejaskan kandungan sudah tidak wujud, seperti pengambilan alkohol, dadah atau penyakit daripada ibu.

Isu dan persoalan

Namun timbul juga pelbagai persoalan susulan daripada idea rahim tiruan ini. Apakah kesannya kepada hubungan ibu dan anak itu nanti selepas ia dilahirkan? Dikhuatiri, perhubungan ibu dan anak itu menjadi semakin jauh. Timbul juga kerisauan pada pihak ibu dan bapa. Sebab anak itu ditakuti hanya akan dipandang sebagai satu komoditi semata-mata. Kerana sudah tentu pengalaman dan jerih perih seorang ibu membawa kandungan ke sana sini selama 9 bulan berlainan sekali dengan 'kandungan' di dalam makmal. Dari kesusahan itu maka lahirlah satu ikatan kasih sayang tak berbelah bagi. Memetik kata Charles Krauthammer,

"Why do we want the embryo to be housed in its mother? One of the reasons is that it creates an innate connection between the child and the mother, and the mother becomes uniquely protective and attached. That's human nature. It's even animal nature as well. And it's not the mixing and the "yucking" that's at issue here. It may be severing the connection between the child and the mother, which is a way of protecting that child by giving him a belonginghood to someone who will care. Once you put him in an animal, which is a thing for these purposes, or a machine, which might happen in the future, you create a completely atomized and defenseless creature, and that opens the way to all kinds of tyrannies, social control and lack of autonomy, which we would not want."

Andai kata, tiba waktunya teknologi ectogenesis begitu sempurna dan betul-betul menyerupai kandungan di dalam rahim seorang ibu, malahan lebih baik dan risiko pada ibu dan anak sangat rendah; adakah ia akan memberi impak pada polisi insurans contohnya. Takut pula di pihak insurans nanti, mereka tidak mahu memasukkan kos  perubatan untuk kehamilan dan kelahiran secara semulajadi dalam skim perlindungan mereka. Kerana pada masa itu, sudah sedia maklum ectogenesis lebih selamat dan mudah. Susulan daripada persoalan ini, bagaimana pula halnya akan kebajikan daripada majikan kepada pekerja? Demi memastikan syarikat mereka menghasilkan produktiviti yang berterusan, majikan akan lebih cenderung untuk menjaga staf yang memilih ectogenesis dan mengabaikan staf yang memilih secara semulajadi.

Pada ibu yang memilih alternatif ini, mereka perlu beringat untuk mengambil terapi hormon untuk memastikan mereka dapat menghasilkan susu ibu. Umum tahu bahawa susu ibu hanya akan terhasil susulan daripada kehamilan dan selepas melahirkan bayi. Hormon yang terlibat adalah estrogen dan progesteron.

Kesimpulan

Idea yang membantu perkembangan embrio atau fetus di luar badan manusia itu tidaklah begitu asing pada kita sebenarnya. Pada masa sekarang kita sudah ada in vitro. Inkubator yang membantu bayi pramatang di hospital itu boleh juga dikira sebagai teknologi predecessor akan ectogenesis ini.

Walau apapun, banyak lagi kajian yang perlu dijalankan. Sebenarnya, para saintis masih belum pun tahu secara tepat apakah kondisi yang sesuai dalam pembentukan fetus dalam rahim. Keadaan dalam rahim itu pula adalah berbagai-bagai dari ibu ke ibu yang lain. Sama ada ia adalah suhu badan, denyutan jantung atau ritma pertuturan dan pergerakan ibunya; menjadikan ia sangat sukar untuk ditiru. Dan hasil dari nilai paramater yang berbeza ini, terjadinya manusia itu berbagai-bagai. Dan itulah yang kita panggil 'manusia', bukannya robot dari kilang yang dibuat sama sahaja.


Bacaan lanjutan:



Oleh Sharir Shazni

1 comment:

  1. As stated by Stanford Medical, It's indeed the SINGLE reason women in this country live 10 years more and weigh an average of 19 KG lighter than we do.

    (And really, it really has NOTHING to do with genetics or some hard exercise and absolutely EVERYTHING around "HOW" they are eating.)

    BTW, What I said is "HOW", and not "what"...

    TAP this link to determine if this short test can help you discover your true weight loss possibilities

    ReplyDelete