Murphy's law

Murphy's law

19 Jun 2015

Fanatisma Sebuah Kehidupan



Fanatisma adalah lawan bagi kelenturan. Fanatisma tidak mahu mengakui bahawa jika kita hidup berdasarkan prinsip-prinsip yang benar maka kita akan memperoleh hasil yang baik, dan bila kita mengalami kegagalan maka itu disebabkan ketidaktahuan kita akan prinsip-prinsip yang benar, atau kita sebenarnya sudah tahu hanya saja tidak memahaminya. Kalangan fanatis beranggapan bahawa kegagalannya disebabkan oleh orang lain, bukan akibat pilihan yang diambilnya. Mereka memegang teguh suatu keyakinan begitu sahaja tanpa pernah berusaha memahaminya, enggan mengakui kemungkinan bahawa perubahan cara berfikir akan membuat perbezaan. Mereka mengalami kebuntuan berfikir dan melepaskan rasa kekecawaan mereka dengan menyalahkan dan membenci orang lain.

Keteguhan atau sikap istiqamah berbeza dari fanatisma. Keteguhan dan kesabaran dikenal secara umum sebagai prinsip kearifan. Memerlukan tempoh waktu, baik sebentar atau lama hingga suatu upaya mencapai keberhasilan. Kita harus istiqamah menetapi suatu pilihan dan terus berupaya meraih tujuan hingga kita mencapai keberhasilan. Berbeza dari orang yang fanatis, orang yang kukuh atau istiqamah boleh bersikap lentur dalam pendekatan yang dilakukannya. Ia fokus pada upayanya sendiri dan berjuang menemukan cara agar segala upayanya menjadi lebih efektif.

Komuniti yang membolehkan diskusi bebas mengenai sistem keyakinan mereka cenderung lebih mampu mengambil hikmah. Sebaliknya komuniti yang melarang terjadinya diskusi kritis akan menjadi masyarakat yang pegun dan kalah maju dari kelompok masyarakat yang lebih dinamik.

Jika kita ingin bergerak maju, mencurahkan tenaga untuk membenci orang yang menindas kita bukanlah tindakan yang bijak. Itu tidak membantu kita untuk menyuarakan, secara berkesinambungan, bahawa musuh kita bersikap tidak adil dan kejam dan bahawa mereka telah merampas hak kita. Pertanyaannya bukan siapa yang menindas kita, tetapi apa gerangan yang membuat kita begitu lemah sehingga orang lain boleh menindas kita. Kita harus memperbaiki cara berfikir, kita perlu mengubah diri sendiri.

Kita boleh belajar dari mereka yang lebih kuat. Kita mesti memperhatikan bagaimana mereka menjalankan urusan mereka. Mereka lebih kuat kerana mewujudkan beberapa prinsip utama lebih baik daripada kita.

"Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab Suci yang mengandungi mukjizat. (Tetapi lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah menurut kehendak Allah), bahkan segala urusan tertentu bagi Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki tentulah Ia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya, (lalu menjadikan mereka semuanya beriman). Dan orang-orang yang kafir itu (dengan sebab kekufuran mereka) sentiasa ditimpa bala bencana (ke atas diri atau harta benda mereka); atau pun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka (lalu menjadikan mereka gempar kecemasan), sehinggalah datang janji Allah (hari kiamat dan azabnya); Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya."

Ar-Ra'd: 31 

Prinsip-prinsip universal mengenai kearifan sudah banyak diketahui, termasuk di antaranya ketelusan, keimanan, kejujuran, kasih sayang, keberanian, kemurahan hati, doa, sikap proaktif, mahu mencari ilmu, dan seterusnya. Sudah menjadi janji Allah bahawa sesiapapun yang hidup dengan benar, yakni hidup mengikuti prinsip yang benar, akan bertahan dan berkembang. Sebaliknya, sesiapapun yang hidup tidak berdasarkan aturan ini, pasti akan musnah. Allah tidak pilih kasih kepada ras atau kelompok bangsa tertentu. AturanNya mengenai keberhasilan dan kegagalan berlaku bagi semua makhluk, sepanjang masa.

17 Jun 2015

Di Mana Letaknya Ia ?


Setelah belasan atau puluhan tahun kita hidup, bagaimanakah interaksi kita dengan Al-Quran? Bagaimanakah kualiti bacaan Al-Quran kita? Bagaimanakah pula dengan penghayatan kita terhadap apa yang tertulis dalam Al-Quran? Sejauh manakah kita merasakan bahawa Al-Quran itu hidup dalam hati kita, dan hidup kita secara keseluruhannya adalah berpandu kepada sibghah(acuan) Al-Quran? Persoalan-persoalan ini mungkin akan menimbulkan jawapan-jawapan yang dianggap cliche'.

“Eh, aku dah khatam dah waktu darjah 5 dulu tau!”. 

“Takpalah, aku tak pandai sangat baca Quran, segan la nak tadarus”.

“Kalau ada masa lapang aku baca la Quran”.

“Alah, aku baca jer, tak pernah tengok pun maknanya. Takpa, dapat pahala juga”.

Kalau begini layaknya sikap kita terhadap Al-Quran, bagaimanakah mungkin diri kita itu terbentuk dengan Al-Quran? Bagaimanakah mungkin Al-Quran itu menjadi panduan agung dalam kehidupan kita sedangkan kita tak pernah mengetahui sekalipun pengertiannya dan kefahamannya? Maka kita harus menyelami hati dan mula memikirkan, bagaimana seharusnya kita bersikap terhadap Al-Quran? Adakah dengan mengambilnya sebagai bahan bacaan ‘mengisi masa lapang’ atau ‘mesti’ cari masa untuk dibaca? Adakah dengan menjadikannya bahan bacaan atau bahan rujukan dalam segenap kehidupan?


Ya, Al-Quran dengan bait-bait kata yang sama inilah yang menjadi perubah kehidupan sebuah bangsa Arab Jahiliah menjadi Khairu Ummah(ummah terbaik). Al-Quran dengan mesej yang sama sejak dulu inilah yang menjadi inspirasi terbebasnya Constantinopel di tangan Islam. Al-Quran dengan suruhan dan tegahan yang sama sejak dulu inilah yang menjadi sebab tertegaknya pemerintahan Islam. Namun, mengapakah kita tidak menjadi sebegitu hebat dengan Al-Quran ini? Adakah salah Al-Quran atau salah Umat Islam?



Tadabbur. Itulah kunci yang akan memberikan impak Al-Quran dalam kehidupan kita. Menghayati dengan ertikata yang sebenar, meyakini dengan sepenuhnya dan membawa segala mesej tersebut untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Al-Quran bukan semata-mata untuk para qari yang sedap dan merdu bacaannya. Al-Quran juga bukan hanya untuk ahli tafsir yang diberikan petunjuk oleh Allah untuk menggali segala persoalan dalam Al-Quran. Al-Quran bukan hanya untuk ustaz-ustaz yang memetiknya untuk dijadikan bahan ceramah. Namun Al-Quran untuk semua, untuk panduan umat manusia secara keseluruhannya. Maka setiap daripada kita wajib mendalami dan menghayati Al-Quran, menjadi ‘Al-Quran yang bergerak’, hidup dengan acuannya.
Firman Allah:

“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
(An-Nisa’: 82)

“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” (Muhammad: 24)

Maka sekarang kita perlu mengubah orientasi pemikiran. Kalau sebelum ini Al-Quran itu kita anggap sebagai bahan bacaan, sekarang mari melangkah setapak dengan menjadikannya sebagai bahan penghayatan. Bahan rujukan untuk segenap isu dalam kehidupan. Bahan penyelesaian kepada segala permasalahan yang dialami dan dirasai. Berpandukan kepada kitab-kitab tafsir yang ditulis oleh para Ulama’ seperti Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Fi Zilalil Quran Syed Qutub dan tafsir-tafsir lain, kita selak dan kita dalami Al-Quran. Insya-Allah, hidup kita akan menjadi semakin terarah dan semakin membaik kerana kita mengambil sebuah panduan yang tidak bengkok sama sekali.

“Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).” (Al-Kahfi: 1)

Jom kita berubah bersama Al-Quran!

Selamat Menyambut Ramadhan !