Murphy's law

Murphy's law

17 Jul 2015

Keamanan sejagat dengan sains

Sekadar coretan ringkas.

Tempoh hari sewaktu aku pulang dari kerja, seperti biasa aku akan mendengar radio BFM. DJ pada petang itu adalah Umapagan dan tetamu jemputan adalah Fabien Bouhier. Kalau apa yang aku dengar betul, beliau adalah seorang ahli fizik amatur. Begitu minatnya beliau pada sains fizik sehinggakan beliau belajar sendiri menerusi kelas online di internet.

Fabien pernah juga hadir sebelum ini di BFM, membincangkan topik-topik lain yang berkaitan dengan sains juga; antaranya sains di sebalik Interstellar (filem tahun 2014) dan sains di sebalik Back To The Future. Tetapi kali ini, Fabien sedang mempromosikan buku yang beliau tulis baru-baru, bertajuk 'Down the Quantum Hole'.

Sepanjang wawancara antara Fabien dengan Umapagan itu, beliau ada mengatakan untuk mencapai keamanan dunia (world peace), pelajarilah sains. Bagaimana, tidak pula beliau jelaskan. Tetapi sudah cukup untuk membuatkan aku berfikir; betul juga.

Aku setuju dengan apa yang Fabien katakan itu. Untuk mencapai keamanan sejagat, sains boleh jadi penyelamat. Kerana apabila difikirkan balik, setakat pengetahuan dan pemahaman aku yang sedia ada, sains ini sangat empirikal. Apabila ia sesuatu yang empirikal, sukar untuk ia berada di dalam ruang kelabu. Kerana kewujudan ruang kelabu inilah, yang mewujudkan perbezaan pendapat.

Mungkin kita sekarang ini terlalu berbicara perihal manusia; "pendapat saya", "pendapat kamu", "pendapat mereka". Mengapa tidak untuk seketika, sebagai contohnya kita cuba sekali sekala meneroka ilmu astronomi. Aku yakin, kita tidak akan ada masa untuk cari salah hujah itu, cari salah hujah ini, apabila kita sedang kagum dan terpesona dengan luasnya ruang angkasa.

Mungkin itulah apa yang dimaksudkan oleh Fabien. Jika kita sibuk berbicara pula akan perihal kejadian bintang, putaran bumi, betapa luasnya hamparan fabrik angkasa; mungkin barulah kita akan sedar bahawa bukan manusia semata-mata yang berada di pusat alam ini. We're not the center of the universe. Kita ini hanyalah makhluk yang tinggal di bumi, di dalam jutaan planet, di tengah-tengah jutaan galaksi yang lain. Kita ini kerdil sahaja. Bila kita sedar akan keadaan itu, mungkin kita akan lebih mudah berlapang dada menerima perbezaan yang ada pada orang lain.

Sekadar pandangan dua sen dari diri ini.

Oleh Sharir Shazni

14 Jul 2015

Seteguh Akar, Seharum Bunga


Jika kamu melalui kawasan hutan yang berbukit kita pasti melihat pokok-pokok sebagai satu tanjak yang penting melindungi keadaan tanah di bukit , lihatlah pokok yang akarnya menjulur keluar memaksa laluan untuk mendapatkan lebih cengkaman agar pokok kukuh berdiri.

Adakalanya akar ini menerokai lebih jauh dari pangkalnya , akar bekerja keras merentasi batu-bata dan tanah keras , menjadi serangan hidupan di bawah tanah yang menjadikan akar sebagai rezeki makanan mereka. Namun akar tidak mudah kalah , akar akan tetap mencengkam untuk memastikan kehidupan sebatang pokok yang mesti hidup.

Kita tidak melihat akar , kerana akar jauh didasar tanah , apa yang kita lihat pokok itu tetap subur , padahal tanpa akar , tidak mungkin kita boleh melihat pokok yang subur itu!

Kita melihat sepohon pokok bunga mawar , daunnya bersih , cantik dan amat harum , ianya memberikan sedikit kelegaan kepada pandangan mata , dan keselesaan yang amat nyaman sekali.Kecantikan bunga tidak dapat dibandingkan dengan kata-kata , hanya perasaan yang damai dapat diimaginasikan apabila kita melihat sekuntum bunga.

Bunga dipuji disegenap perkataan yang puitis , diantara jenis bunga yang sering mendapat kata-kata pujian ialah bunga ros , mawar , anggerik , orkid , dan kekwa.Bunga juga mempunyai kelemahan yang tersendiri , apabila sering dipuji ianya akan memberikan minat untuk kita memetiknya dan akhirnya bunga itu tetap akan layu , ianya menjadi hiasan sementara , bau wanginya di perah untuk orang lain, sedang bunga menjadi malap warnanya sehingga kering dan menjadi debu-debu tanah kembali ke tempat asalnya.

Mujur akar tetap setia , walaupun tidak dapat dilihat dan tidak disanjung tinggi dan tanpa bau yang wangi, ianya memberikan harapan kepada pohoh mawar untuk terus hidup.Akar tidak perlu kepada pujian untuk berkhidmat , itu memang tugasnya dan ianya tidak sangat dikenali, jika ia dikenali hanyalah kepada tugasnya yang amat baik berbanding kepada namanya yang tenggelam di dasar tanah.

Kehidupan sepohon pokok boleh memberi contoh kepada kehidupan kita secara realiti , ada manusia yang bersifat seperti bunga , memperlihatkan kecantikannya hanya untuk sementara , dia amat suka apabila dipuji dan dipuja kerana sifatnya itu , dia ingin sekali dikenali dan memberikan janji yang wangi seperti baunya.Namun ianya tidak kekal apabila dipetik dan baunya itu diperam bersama kuntumannya untuk orang lain.Ya itu satu pengorbanan yang besar untuk si bunga!

Akar tidak ingin dikenali , ianya adalah nyawa kepada setiap dahan dan ranting , juga buah dan bunga.Ia bekerja tanpa perlu diceritakan jasanya dan ia hidup lebih lama dari sekuntum bunga !