Falsafah bukan semata-mata untuk
menyampaikan sesuatu idea. Ia perlu disertakan dengan tindakan untuk
mempertahankan sesuatu idea itu. Kita tidak boleh menyuruh orang lain untuk
mempercayai sesuatu idea itu hanya dengan memberitahu sumber atau dari mana
datangnya idea itu sahaja. Untuk membuktikan idea itu benar; haruslah
disertakan dengan justifikasi yang kukuh.
Maka dalam falsafah, adanya
‘logik’. Satu pengkajian mengenai hujah (argument) yang baik. Logik terbahagi
kepada dua iaitu;
1) Deduktif : Hujah yang mempunyai
konklusi yang kukuh berdasarkan premis-premis yang benar.
2) Induktif : Hujah yang dikemukakan
berdasarkan kejadian-kejadian lalu (past events).
Deduktif
Aristotle menemukan empat ayat
mudah dalam membuat sesuatu konklusi secara deduktif;
Semua
S adalah P.
Sesetengah
S adalah P.
Bukan
S adalah P.
Sesetengah
S adalah bukan P.
Apabila kita menggunakan mana-mana
premis di atas lalu jadikannya sebagai hujah, konklusi yang tercapai pasti akan
benar; selagi mana premis awal yang digunakan adalah betul.
Contoh:
Semua
A adalah B.
Semua
B adalah C.
Maka,
semua A adalah C.
Jika dua premis yang pertama
adalah benar, maka konklusi di akhirnya akan menjadi benar.
Hujah deduktif adalah ibarat satu
pendakian gunung yang curam. Setiap penambahan tinggi dakian bergantung pada
kekukuhan langkah dakian itu. Setiap kebenaran yang terjana adalah disebabkan
akan kebenaran premis yang sebelumnya.
Untuk menghasilkan sesuatu hujah
yang tepat, perlunya untuk mempunyai poin-poin yang defininya tepat dan assumption
di mana semua pihak akur akan ketepatannya. Dengan kata lain; axiom.
Dalam metafora mendaki gunung
kebenaran ini, axiom ibarat kayu pasak yang digunakan oleh pendaki untuk
memegang dan memijak semasa pendakian tersebut. Jika kukuhnya kayu itu
dipacakkan, semakin mudah pendakian itu lalu semakin bertambah ketinggian yang
dicapai. Begitu juga halnya dalam perjalanan mencari kebenaran. Membina hujah
dengan memastikan premis itu tepat dan kukuh.
Induktif
Tetapi kadang-kala realitinya,
jarang sekali kita mempraktikkan kaedah deduktif dalam kehidupan seharian
semasa merasionalisasikan apa-apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita lebih
banyak berinduktif.
Ia adalah di mana sesuatu
kesimpulan atau tanggapan yang dibuat adalah berdasarkan kepercayaan kita yang
telah terbina lebih awal dan pengalaman lalu.
“Buah ini selalunya masam, maka
masamlah ia bila aku makan nanti” atau,
“Dia itu selalunya lambat, maka
hari ini pasti lambat lagi”.
Semua kesimpulan ini terbina
dalam minda seseorang itu kerana ia pernah berlaku sebelum-sebelum ini dan
berulang-ulang kali. Apabila hipotesis itu sering kali menjadi tepat, ia akan
terbenam di dalam pemikiran kita bahawa ia adalah satu kepastian, satu
peraturan atau undang-undang.
Akan tetapi, ‘undang-undang’ itu
tidak semestinya adalah satu kebenaran mutlak seperti hujah yang terbina
daripada cara deduktif yang mana menghasilkan satu kebenaran matematikal
(mathematical truth). Kebenaran matematikal yang telah dibuktikan benar, akan
kekal benar tanpa ada ruang yang boleh dicanggah.
Oleh itu, apabila menggunakan
taakulan secara induktif, kita perlu akui bahawa ia boleh menjadi salah kerana
kita sekadar menaakul berdasarkan pengalaman dan bukti yang terbaik setakat
waktu itu.
Fallibilism; menerima hakikat
bahawa akan ada sesuatu yang akan mengubah kepercayaan kita pada sesuatu
perkara. Sesuatu itu benar sehingga dibuktikan salah.
Secara ringkasnya, deduktif ialah
pembentukan hujah yang berdasarkan premis yang termaktub kebenarannya. Induktif
pula berdasarkan pengalaman lalu dengan mengetahui bahawa ia mungkin salah.
Oleh Sharir Shazni