Murphy's law

Murphy's law

20 Apr 2015

Berapa Besar Gelas Kita ?



Malam semakin larut. Badan yang penat setelah bermain futsal masih tidak hilang. Ahmad dan rakan-rakan yang lain lepak di restoran mamak berhampiran pekan, perkena air isotonik bagi merawat badan yang terhidrasi ketika bersukan. Yang lain ada juga yang pesan makanan. Supper kata mereka.

“Hang tak makan ker Ahmad?” Soal Hamdi.

“Makan la sikit, tak gemuk lah kalau makan sikit malam ni. Bukan selalu…” Pujuk Salleh dengan mempelawa roti telur miliknya.

“Uish….aku tak makan sangat malam-malam macam ni, nanti susah bangun subuh.” Jawab Ahmad ringkas dan rasional.

Dua meja makan restoran tersebut yang Ahmad dan rakan-rakan lain penuhkan bersebelahan dengan sebuah meja dengan sekumpulan pemuda sambil menghembus-hembus asap shisha yang mereka langgani. Ahmad hanya melihat, lihat tembus menembusi kepulan-kepulan asap tersebut. Merenung jauh Ahmad melihat gelagat mereka di meja tersebut. Memikirkan ragam, budaya, dan nasib pemuda hari ini kesan dari pengaruh-pengaruh yang tidak baik yang gagal ditapis oleh masyarakat sendiri.

“Ahh….aku ini buruk sangka pula. Takkan mereka duduk shisha terus kau melabel mereka teruk Ahmad?” Ahmad bermonolog sendiri. Cuba meluruskan sangkaannya agar sentiasa memandang dengan baik dan kasih sayang.

“Bos! Tambah lagi air tin ni satu ya!” jerit Imran kepada seorang mamak yang ambil order mereka.

Imran masih muda. Masih seorang pelajar menengah atas dari aliran sains tulen dari sebuah sekolah agama. Ahmad dan rakan-rakan bukan sebaya, bercampur pelbagai umur dan kerjaya. Bagi Ahmad, amat menarik untuk bergaul bersama dari pelbagai latar belakang pendidikan, umur dan kerjaya. Banyak yang boleh dipelajari formal dan tidak formalnya. Memahami psikologi dari setiap aspek dari setiap latar belakang. Kepelbagaian tadi langsung tidak merencatkan pergaulan sesama mereka.

Gelas dan cawan yang memenuhi meja mereka menarik minat Ahmad seketika. Ahmad tersenyum lalu mengambil satu per satu gelas dan cawan tersebut. Gelagat Ahmad diperhati oleh Hamdi, Salleh, Imran dan yang lain.

“Hang buat apa tu Ahmad?” Soal Salleh.

Hamdi menyampuk “ada lah tu yang dia nak cerita lepas ni”

“Korang rasa, kalau aku susun gelas dan cawan ni meninggi secara piramid, dan hanya satu gelas sahaja di puncaknya kemudian aku tuangkan air ke dalam gelas tersebut sampai penuh, air melimpah tak ke dalam gelas dan cawan-cawan di bawahnya?” Ahmad menyoal dengan mengharapkan jawapan dari rakan-rakannya. Salleh menjawab spontan,

“Melimpah, tapi tumpah. Tak semua air yang melimpah tadi masuk ke dalam gelas dan cawan tadi.”

“Kalau hang susun piramid secara bulatan tapaknya, aku rasa dapat kurangkan air yang tumpah tadi.” Imran memberi cadangan kepada Ahmad. Ahmad tersenyum puas kerana rakan-rakannya menjawab persoalannya dengan rasional sekali. Ahmad tahu, secara teorinya, air yang melimpah akan mengalir ke dalam gelas dan cawan di bawahnya kerana hukum graviti dan kapilari yang membenarkannya dengan izin Allah.

“Kalau gelas yang paling atas tadi bertukar saiznya kepada lebih besar secara berkala, agaknya banyak tak air yang melimpah dapat kita kumpulkan?” Ahmad menyambung perbincangannya dengan rakan-rakan.

“Makin kurang dan lambat lah air nak melimpah, ruang semakin besar, semakin banyak air yang perlu memenuhinya dahulu.” Imran menjawab dengan yakin.
“Betul!” bentak Ahmad dengan tegas sambil membelek gelas dan cawan-cawan tadi. Hamdi tidak senang duduk, kerana mengetahui ada perkara yang Ahmad ingin tegaskan melalui perbincangan tadi. Hamdi bertanya,

“Apa yang hang nak cerita sebenarnya Ahmad?”

“Gelas yang di atas adalah keperluan dan kehendak kita, manakala yang di bawah adalah hak-hak masyarakat. Keperluan kita hanyalah ruang di dalam gelas yang mempunyai batasnya, kehendak kita pula adalah saat tindakan kita menukar saiz gelas tersebut. Air yang dituang itu adalah rezekiNya, dan yang terlimpah itu adalah pendapatan kita di mana ada hak buat gelas dan cawan di bawah.” Jelas Ahmad.

“Maksud hang, kita tidak boleh tukar saiz gelas kita?” Soal Salleh kepada Ahmad yang masih membelek gelas tersebut.

“Bukan tidak boleh tukar, tapi sampai bila baru kita akan berhenti untuk menukarnya? Sampai satu had, kita tak bisa Salleh, tak bisa nak minum gelas yang lebih besar. Cuba bayangkan jika kita lebih kenal had (keperluan) kita, air yang terlimpah lebih cepat berbanding jika kita sering menukar saiz gelas kita, lambatlah air itu nak melimpah ke bawah.” Ahmad menoleh kepada seorang makcik yang bekerja keras menjual kerepek dari satu meja ke meja yang lain. Rakan-rakan lain mula menangkap isi hati Ahmad yang cuba Ahmad sampaikan kepada mereka.

“Air yang sudah melimpah ke bawah dapat pula memenuhi gelas dan cawan di bawah lalu mereka pula dapat limpahkan kepada yang lebih bawah daripada mereka. Gelas dan cawan mengikut fitrah hadnya, lalu air akan melimpah. Jika kita boleh ikut fitrah kita?” Ahmad menambah lagi.

“Maka benarlah apa yang Allah firmankan di dalam surah al-quran bermaksud "Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka (bersedekah) pada jalan Allah laksana sebiji (benih) yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada siapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." (Al Baqarah: 261). Imran bersetuju dengan penjelasan Ahmad.

“Kita asyik dengan gelas sendiri hingga lupa gelas yang di bawah. Kita asyik menukar gelas yang lebih besar hingga lambat melimpahkan kepada yang di bawah. Apabila ada lebihan dibelanjakan pada yang tidak diperlukan, sedang yang memerlukan menagih lebihan kita.” Ahmad bermonolog pada diri sendiri. Berpesan pada diri sendiri.



“Ok, jom habiskan makanan kita, dah lewat dah ni. Nanti lambat pula bangun subuh haha” cadang Hamdi apabila melihat yang lain semua diam, kelu. Mungkin sedang berfikir apa yang Ahmad kongsikan.

1 comment:

  1. If you're trying hard to lose pounds then you certainly need to try this totally brand new personalized keto meal plan diet.

    To produce this keto diet service, certified nutritionists, personal trainers, and top chefs have united to develop keto meal plans that are effective, decent, price-efficient, and delightful.

    From their grand opening in January 2019, thousands of individuals have already completely transformed their body and health with the benefits a great keto meal plan diet can provide.

    Speaking of benefits: clicking this link, you'll discover 8 scientifically-proven ones given by the keto meal plan diet.

    ReplyDelete