Murphy's law

Murphy's law

11 Sept 2015

Logik: Deduktif dan induktif

*Isi artikel ini adalah terjemahan dan olahan daripada buku The Cartoon Introduction to Philosophy.


Falsafah bukan semata-mata untuk menyampaikan sesuatu idea. Ia perlu disertakan dengan tindakan untuk mempertahankan sesuatu idea itu. Kita tidak boleh menyuruh orang lain untuk mempercayai sesuatu idea itu hanya dengan memberitahu sumber atau dari mana datangnya idea itu sahaja. Untuk membuktikan idea itu benar; haruslah disertakan dengan justifikasi yang kukuh.

Maka dalam falsafah, adanya ‘logik’. Satu pengkajian mengenai hujah (argument) yang baik. Logik terbahagi kepada dua iaitu;

1) Deduktif : Hujah yang mempunyai konklusi yang kukuh berdasarkan premis-premis yang benar.

2) Induktif : Hujah yang dikemukakan berdasarkan kejadian-kejadian lalu (past events).


Deduktif

Aristotle menemukan empat ayat mudah dalam membuat sesuatu konklusi secara deduktif;
            Semua S adalah P.
            Sesetengah S adalah P.
            Bukan S adalah P.
            Sesetengah S adalah bukan P.

Apabila kita menggunakan mana-mana premis di atas lalu jadikannya sebagai hujah, konklusi yang tercapai pasti akan benar; selagi mana premis awal yang digunakan adalah betul.
Contoh:
            Semua A adalah B.
            Semua B adalah C.
            Maka, semua A adalah C.

Jika dua premis yang pertama adalah benar, maka konklusi di akhirnya akan menjadi benar.

Hujah deduktif adalah ibarat satu pendakian gunung yang curam. Setiap penambahan tinggi dakian bergantung pada kekukuhan langkah dakian itu. Setiap kebenaran yang terjana adalah disebabkan akan kebenaran premis yang sebelumnya. 

Untuk menghasilkan sesuatu hujah yang tepat, perlunya untuk mempunyai poin-poin yang defininya tepat dan assumption di mana semua pihak akur akan ketepatannya. Dengan kata lain; axiom.

Dalam metafora mendaki gunung kebenaran ini, axiom ibarat kayu pasak yang digunakan oleh pendaki untuk memegang dan memijak semasa pendakian tersebut. Jika kukuhnya kayu itu dipacakkan, semakin mudah pendakian itu lalu semakin bertambah ketinggian yang dicapai. Begitu juga halnya dalam perjalanan mencari kebenaran. Membina hujah dengan memastikan premis itu tepat dan kukuh.


Induktif

Tetapi kadang-kala realitinya, jarang sekali kita mempraktikkan kaedah deduktif dalam kehidupan seharian semasa merasionalisasikan apa-apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita lebih banyak berinduktif.

Ia adalah di mana sesuatu kesimpulan atau tanggapan yang dibuat adalah berdasarkan kepercayaan kita yang telah terbina lebih awal dan pengalaman lalu.

“Buah ini selalunya masam, maka masamlah ia bila aku makan nanti” atau,
“Dia itu selalunya lambat, maka hari ini pasti lambat lagi”.

Semua kesimpulan ini terbina dalam minda seseorang itu kerana ia pernah berlaku sebelum-sebelum ini dan berulang-ulang kali. Apabila hipotesis itu sering kali menjadi tepat, ia akan terbenam di dalam pemikiran kita bahawa ia adalah satu kepastian, satu peraturan atau undang-undang.

Akan tetapi, ‘undang-undang’ itu tidak semestinya adalah satu kebenaran mutlak seperti hujah yang terbina daripada cara deduktif yang mana menghasilkan satu kebenaran matematikal (mathematical truth). Kebenaran matematikal yang telah dibuktikan benar, akan kekal benar tanpa ada ruang yang boleh dicanggah.

Oleh itu, apabila menggunakan taakulan secara induktif, kita perlu akui bahawa ia boleh menjadi salah kerana kita sekadar menaakul berdasarkan pengalaman dan bukti yang terbaik setakat waktu itu.

Fallibilism; menerima hakikat bahawa akan ada sesuatu yang akan mengubah kepercayaan kita pada sesuatu perkara. Sesuatu itu benar sehingga dibuktikan salah.

Secara ringkasnya, deduktif ialah pembentukan hujah yang berdasarkan premis yang termaktub kebenarannya. Induktif pula berdasarkan pengalaman lalu dengan mengetahui bahawa ia mungkin salah.


Oleh Sharir Shazni

17 Jul 2015

Keamanan sejagat dengan sains

Sekadar coretan ringkas.

Tempoh hari sewaktu aku pulang dari kerja, seperti biasa aku akan mendengar radio BFM. DJ pada petang itu adalah Umapagan dan tetamu jemputan adalah Fabien Bouhier. Kalau apa yang aku dengar betul, beliau adalah seorang ahli fizik amatur. Begitu minatnya beliau pada sains fizik sehinggakan beliau belajar sendiri menerusi kelas online di internet.

Fabien pernah juga hadir sebelum ini di BFM, membincangkan topik-topik lain yang berkaitan dengan sains juga; antaranya sains di sebalik Interstellar (filem tahun 2014) dan sains di sebalik Back To The Future. Tetapi kali ini, Fabien sedang mempromosikan buku yang beliau tulis baru-baru, bertajuk 'Down the Quantum Hole'.

Sepanjang wawancara antara Fabien dengan Umapagan itu, beliau ada mengatakan untuk mencapai keamanan dunia (world peace), pelajarilah sains. Bagaimana, tidak pula beliau jelaskan. Tetapi sudah cukup untuk membuatkan aku berfikir; betul juga.

Aku setuju dengan apa yang Fabien katakan itu. Untuk mencapai keamanan sejagat, sains boleh jadi penyelamat. Kerana apabila difikirkan balik, setakat pengetahuan dan pemahaman aku yang sedia ada, sains ini sangat empirikal. Apabila ia sesuatu yang empirikal, sukar untuk ia berada di dalam ruang kelabu. Kerana kewujudan ruang kelabu inilah, yang mewujudkan perbezaan pendapat.

Mungkin kita sekarang ini terlalu berbicara perihal manusia; "pendapat saya", "pendapat kamu", "pendapat mereka". Mengapa tidak untuk seketika, sebagai contohnya kita cuba sekali sekala meneroka ilmu astronomi. Aku yakin, kita tidak akan ada masa untuk cari salah hujah itu, cari salah hujah ini, apabila kita sedang kagum dan terpesona dengan luasnya ruang angkasa.

Mungkin itulah apa yang dimaksudkan oleh Fabien. Jika kita sibuk berbicara pula akan perihal kejadian bintang, putaran bumi, betapa luasnya hamparan fabrik angkasa; mungkin barulah kita akan sedar bahawa bukan manusia semata-mata yang berada di pusat alam ini. We're not the center of the universe. Kita ini hanyalah makhluk yang tinggal di bumi, di dalam jutaan planet, di tengah-tengah jutaan galaksi yang lain. Kita ini kerdil sahaja. Bila kita sedar akan keadaan itu, mungkin kita akan lebih mudah berlapang dada menerima perbezaan yang ada pada orang lain.

Sekadar pandangan dua sen dari diri ini.

Oleh Sharir Shazni

14 Jul 2015

Seteguh Akar, Seharum Bunga


Jika kamu melalui kawasan hutan yang berbukit kita pasti melihat pokok-pokok sebagai satu tanjak yang penting melindungi keadaan tanah di bukit , lihatlah pokok yang akarnya menjulur keluar memaksa laluan untuk mendapatkan lebih cengkaman agar pokok kukuh berdiri.

Adakalanya akar ini menerokai lebih jauh dari pangkalnya , akar bekerja keras merentasi batu-bata dan tanah keras , menjadi serangan hidupan di bawah tanah yang menjadikan akar sebagai rezeki makanan mereka. Namun akar tidak mudah kalah , akar akan tetap mencengkam untuk memastikan kehidupan sebatang pokok yang mesti hidup.

Kita tidak melihat akar , kerana akar jauh didasar tanah , apa yang kita lihat pokok itu tetap subur , padahal tanpa akar , tidak mungkin kita boleh melihat pokok yang subur itu!

Kita melihat sepohon pokok bunga mawar , daunnya bersih , cantik dan amat harum , ianya memberikan sedikit kelegaan kepada pandangan mata , dan keselesaan yang amat nyaman sekali.Kecantikan bunga tidak dapat dibandingkan dengan kata-kata , hanya perasaan yang damai dapat diimaginasikan apabila kita melihat sekuntum bunga.

Bunga dipuji disegenap perkataan yang puitis , diantara jenis bunga yang sering mendapat kata-kata pujian ialah bunga ros , mawar , anggerik , orkid , dan kekwa.Bunga juga mempunyai kelemahan yang tersendiri , apabila sering dipuji ianya akan memberikan minat untuk kita memetiknya dan akhirnya bunga itu tetap akan layu , ianya menjadi hiasan sementara , bau wanginya di perah untuk orang lain, sedang bunga menjadi malap warnanya sehingga kering dan menjadi debu-debu tanah kembali ke tempat asalnya.

Mujur akar tetap setia , walaupun tidak dapat dilihat dan tidak disanjung tinggi dan tanpa bau yang wangi, ianya memberikan harapan kepada pohoh mawar untuk terus hidup.Akar tidak perlu kepada pujian untuk berkhidmat , itu memang tugasnya dan ianya tidak sangat dikenali, jika ia dikenali hanyalah kepada tugasnya yang amat baik berbanding kepada namanya yang tenggelam di dasar tanah.

Kehidupan sepohon pokok boleh memberi contoh kepada kehidupan kita secara realiti , ada manusia yang bersifat seperti bunga , memperlihatkan kecantikannya hanya untuk sementara , dia amat suka apabila dipuji dan dipuja kerana sifatnya itu , dia ingin sekali dikenali dan memberikan janji yang wangi seperti baunya.Namun ianya tidak kekal apabila dipetik dan baunya itu diperam bersama kuntumannya untuk orang lain.Ya itu satu pengorbanan yang besar untuk si bunga!

Akar tidak ingin dikenali , ianya adalah nyawa kepada setiap dahan dan ranting , juga buah dan bunga.Ia bekerja tanpa perlu diceritakan jasanya dan ia hidup lebih lama dari sekuntum bunga !

19 Jun 2015

Fanatisma Sebuah Kehidupan



Fanatisma adalah lawan bagi kelenturan. Fanatisma tidak mahu mengakui bahawa jika kita hidup berdasarkan prinsip-prinsip yang benar maka kita akan memperoleh hasil yang baik, dan bila kita mengalami kegagalan maka itu disebabkan ketidaktahuan kita akan prinsip-prinsip yang benar, atau kita sebenarnya sudah tahu hanya saja tidak memahaminya. Kalangan fanatis beranggapan bahawa kegagalannya disebabkan oleh orang lain, bukan akibat pilihan yang diambilnya. Mereka memegang teguh suatu keyakinan begitu sahaja tanpa pernah berusaha memahaminya, enggan mengakui kemungkinan bahawa perubahan cara berfikir akan membuat perbezaan. Mereka mengalami kebuntuan berfikir dan melepaskan rasa kekecawaan mereka dengan menyalahkan dan membenci orang lain.

Keteguhan atau sikap istiqamah berbeza dari fanatisma. Keteguhan dan kesabaran dikenal secara umum sebagai prinsip kearifan. Memerlukan tempoh waktu, baik sebentar atau lama hingga suatu upaya mencapai keberhasilan. Kita harus istiqamah menetapi suatu pilihan dan terus berupaya meraih tujuan hingga kita mencapai keberhasilan. Berbeza dari orang yang fanatis, orang yang kukuh atau istiqamah boleh bersikap lentur dalam pendekatan yang dilakukannya. Ia fokus pada upayanya sendiri dan berjuang menemukan cara agar segala upayanya menjadi lebih efektif.

Komuniti yang membolehkan diskusi bebas mengenai sistem keyakinan mereka cenderung lebih mampu mengambil hikmah. Sebaliknya komuniti yang melarang terjadinya diskusi kritis akan menjadi masyarakat yang pegun dan kalah maju dari kelompok masyarakat yang lebih dinamik.

Jika kita ingin bergerak maju, mencurahkan tenaga untuk membenci orang yang menindas kita bukanlah tindakan yang bijak. Itu tidak membantu kita untuk menyuarakan, secara berkesinambungan, bahawa musuh kita bersikap tidak adil dan kejam dan bahawa mereka telah merampas hak kita. Pertanyaannya bukan siapa yang menindas kita, tetapi apa gerangan yang membuat kita begitu lemah sehingga orang lain boleh menindas kita. Kita harus memperbaiki cara berfikir, kita perlu mengubah diri sendiri.

Kita boleh belajar dari mereka yang lebih kuat. Kita mesti memperhatikan bagaimana mereka menjalankan urusan mereka. Mereka lebih kuat kerana mewujudkan beberapa prinsip utama lebih baik daripada kita.

"Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab Suci yang mengandungi mukjizat. (Tetapi lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah menurut kehendak Allah), bahkan segala urusan tertentu bagi Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki tentulah Ia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya, (lalu menjadikan mereka semuanya beriman). Dan orang-orang yang kafir itu (dengan sebab kekufuran mereka) sentiasa ditimpa bala bencana (ke atas diri atau harta benda mereka); atau pun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka (lalu menjadikan mereka gempar kecemasan), sehinggalah datang janji Allah (hari kiamat dan azabnya); Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya."

Ar-Ra'd: 31 

Prinsip-prinsip universal mengenai kearifan sudah banyak diketahui, termasuk di antaranya ketelusan, keimanan, kejujuran, kasih sayang, keberanian, kemurahan hati, doa, sikap proaktif, mahu mencari ilmu, dan seterusnya. Sudah menjadi janji Allah bahawa sesiapapun yang hidup dengan benar, yakni hidup mengikuti prinsip yang benar, akan bertahan dan berkembang. Sebaliknya, sesiapapun yang hidup tidak berdasarkan aturan ini, pasti akan musnah. Allah tidak pilih kasih kepada ras atau kelompok bangsa tertentu. AturanNya mengenai keberhasilan dan kegagalan berlaku bagi semua makhluk, sepanjang masa.

17 Jun 2015

Di Mana Letaknya Ia ?


Setelah belasan atau puluhan tahun kita hidup, bagaimanakah interaksi kita dengan Al-Quran? Bagaimanakah kualiti bacaan Al-Quran kita? Bagaimanakah pula dengan penghayatan kita terhadap apa yang tertulis dalam Al-Quran? Sejauh manakah kita merasakan bahawa Al-Quran itu hidup dalam hati kita, dan hidup kita secara keseluruhannya adalah berpandu kepada sibghah(acuan) Al-Quran? Persoalan-persoalan ini mungkin akan menimbulkan jawapan-jawapan yang dianggap cliche'.

“Eh, aku dah khatam dah waktu darjah 5 dulu tau!”. 

“Takpalah, aku tak pandai sangat baca Quran, segan la nak tadarus”.

“Kalau ada masa lapang aku baca la Quran”.

“Alah, aku baca jer, tak pernah tengok pun maknanya. Takpa, dapat pahala juga”.

Kalau begini layaknya sikap kita terhadap Al-Quran, bagaimanakah mungkin diri kita itu terbentuk dengan Al-Quran? Bagaimanakah mungkin Al-Quran itu menjadi panduan agung dalam kehidupan kita sedangkan kita tak pernah mengetahui sekalipun pengertiannya dan kefahamannya? Maka kita harus menyelami hati dan mula memikirkan, bagaimana seharusnya kita bersikap terhadap Al-Quran? Adakah dengan mengambilnya sebagai bahan bacaan ‘mengisi masa lapang’ atau ‘mesti’ cari masa untuk dibaca? Adakah dengan menjadikannya bahan bacaan atau bahan rujukan dalam segenap kehidupan?


Ya, Al-Quran dengan bait-bait kata yang sama inilah yang menjadi perubah kehidupan sebuah bangsa Arab Jahiliah menjadi Khairu Ummah(ummah terbaik). Al-Quran dengan mesej yang sama sejak dulu inilah yang menjadi inspirasi terbebasnya Constantinopel di tangan Islam. Al-Quran dengan suruhan dan tegahan yang sama sejak dulu inilah yang menjadi sebab tertegaknya pemerintahan Islam. Namun, mengapakah kita tidak menjadi sebegitu hebat dengan Al-Quran ini? Adakah salah Al-Quran atau salah Umat Islam?



Tadabbur. Itulah kunci yang akan memberikan impak Al-Quran dalam kehidupan kita. Menghayati dengan ertikata yang sebenar, meyakini dengan sepenuhnya dan membawa segala mesej tersebut untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Al-Quran bukan semata-mata untuk para qari yang sedap dan merdu bacaannya. Al-Quran juga bukan hanya untuk ahli tafsir yang diberikan petunjuk oleh Allah untuk menggali segala persoalan dalam Al-Quran. Al-Quran bukan hanya untuk ustaz-ustaz yang memetiknya untuk dijadikan bahan ceramah. Namun Al-Quran untuk semua, untuk panduan umat manusia secara keseluruhannya. Maka setiap daripada kita wajib mendalami dan menghayati Al-Quran, menjadi ‘Al-Quran yang bergerak’, hidup dengan acuannya.
Firman Allah:

“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
(An-Nisa’: 82)

“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” (Muhammad: 24)

Maka sekarang kita perlu mengubah orientasi pemikiran. Kalau sebelum ini Al-Quran itu kita anggap sebagai bahan bacaan, sekarang mari melangkah setapak dengan menjadikannya sebagai bahan penghayatan. Bahan rujukan untuk segenap isu dalam kehidupan. Bahan penyelesaian kepada segala permasalahan yang dialami dan dirasai. Berpandukan kepada kitab-kitab tafsir yang ditulis oleh para Ulama’ seperti Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Fi Zilalil Quran Syed Qutub dan tafsir-tafsir lain, kita selak dan kita dalami Al-Quran. Insya-Allah, hidup kita akan menjadi semakin terarah dan semakin membaik kerana kita mengambil sebuah panduan yang tidak bengkok sama sekali.

“Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).” (Al-Kahfi: 1)

Jom kita berubah bersama Al-Quran!

Selamat Menyambut Ramadhan !

24 May 2015

"Pendapat aku betul kerana aku jumpa fakta yang menyokong"

Anda tidak suka akan GST, satu sistem cukai yang baru untuk menggantikan yang lama, SST. Kemudian anda pun terus membuka komputer mahupun telefon pintar anda untuk mencari fakta dan pendapat pakar ahli ekonomi yang mengusulkan bahawa GST ini tidak betul, memberi beban dan tidak relevan. Anda jumpa hujah-hujah itu. Lalu anda pun puas hati kerana memang betul apa yang anda rasakan selama ini. GST sememangnya tidak bagus.

Awas, anda sudah berada dalam kepompong 'confirmation bias'.

Merujuk pada contoh situasi di atas, ya mungkin betul apa yang diperkatakan oleh para ahli ekonomi tentang GST itu; bahawa ia lebih membawa mudarat daripada membawa kebaikan. Tetapi anda juga harus meneliti hujah-hujah atau fakta lain yang mengatakan GST itu ada baiknya. Anda sepatutnya tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa GST itu buruk tanpa melihat juga hujah-hujah yang mengatakan GST itu ada kebaikannya. Jika anda hanya mencari fakta yang membantah, anda sebenarnya bukan di dalam perjalanan mencari kebenaran, tetapi perjalanan mencari kepastian terhadap apa yang anda sudah percaya sebelum ini.

'Confirmation bias' ini boleh terjadi dalam mana-mana aspek kehidupan. Ia adalah 'default setting' di dalam otak kita, kerana kita sememangnya makhluk yang tidak suka keluar dari zon selesa. Kita sukakan kepastian. Kita akan resah apabila berdepan dengan sesuatu yang berlawanan dengan apa yang kita percaya atau pegang selama ini. Oleh itu, secara automatisnya kita akan hanya mendengar, membaca atau menonton yang seiring dengan kepercayaan kita. Menjadikan keadaan itu lebih bahaya bilamana kita terus mencapai konklusi bahawa segala apa yang kita baca itulah jawapan hakiki.

Jika anda terfikir untuk membeli kereta baru, tiba-tiba anda ternampak di jalan raya ramai pula orang yang memandu kereta idaman anda itu. Jika baru sahaja putus cinta, tiba-tiba lagu di radio semuanya berkisar tentang cinta. Tapi hakikatnya, ia bukanlah 'tiba-tiba'. Anda sahaja yang merasakan sebegitu, kerana secara tanpa sedar anda telah berfikir secara memilih. 'Selective thinking'. Sebaik sahaja anda berada dalam satu-satu 'state of mind', minda anda hanya akan memilih elemen-elemen dari luar yang mematuhi keadaan minda anda pada ketika itu.

Melawan hipotesis adalah salah satu kaedah asas dalam mana-mana disiplin ilmu. Sama sahaja dalam hal kehidupan seharian, apabila berlaku apa-apa konflik, kita sebagai orang tengah perlu mendengar daripada kedua-dua belah pihak. Apabila kita meneliti semua hujah yang ada, sesuatu kata putus atau kesimpulan lebih dapat dicapai dengan tepat. Mana mungkin kita tahu satu-satu perkara itu betul, kalau tidak melihat satu perkara lain yang salah?

Di dalam setiap eksperimen sains misalnya, pengkaji akan membuat hipotesis dan kemudiannya akan merekacipta satu eksperimen untuk melawan hipotesis itu. Paling minima, sampel perlu dikelaskan kepada dua bahagian; yang dikawal dan yang dimanipulasi pembolehubahnya. Contohnya, eksperimen untuk menentukan samada ada kehadiran air memberi kesan terhadap tumbesaran benih. Hipotesisnya; benih memerlukan air untuk bercambah. Sebiji benih akan dibekalkan air yang secukupnya. Sebiji benih yang satu lagi tidak dibekalkan air. Di akhir tempoh eksperimen, pengkaji akan membuat pemerhatian. Benih yang punya air yang cukup dapat bercambah dengan baik, manakala benih yang tiada air tidak bercambah. Hipotesis diterima. Dengan kehadiran sampel yang antitesis (benih yang tiada bekalan air), kesimpulan yang tepat dapat dicapai.

Bagaimana boleh kita mengatakan masakan ibu adalah paling sedap dalam dunia kalau tidak pernah sekali merasakan masakan kawan serumah? Bagaimana kita boleh mengatakan kereta bercat hitam lebih panas kalau tidak diuji dan dibandingkan dengan kereta bercat putih? Bagaimana boleh kita mengatakan agama Islam ini benar kalau tidak diteliti kitab-kitab agama lain?

Akhir kata, terimalah perkongsian dan pendapat saya ini sebulat-bulatnya.

;)

Oleh Sharir Shazni

20 May 2015

Peperiksaan dan Periksa



Lega rasanya bila peperiksaan atau segala bentuk pekerjaan yang dilaksanakan itu selesai dan selamat dijalankan. Sudah tentu rasa tenang dan gembira, kata sesetengah orang,  seperti sudah "merdeka". Perasaan seperti baru selesai mengangkat barang yang berat. Bila dapat rehat sebentar atau sudah sampai ke destinasi penghantaran, lelah itu diluahkan dengan puas.




Tapi itu bukanlah topik utama yang ingin dibincangkan di sini, tapi sedikit sebanyak ia memberi sedikit gambaran dan metafora perbandingan untuk cuba kita fahami dengan lebih mudah. Seperti peperiksaan, pelajar akan rasa cemas dan gelisah bila tiba musim peperiksaan kerana soalan yang bakal keluar tidak diketahui. Dan adakalanya walaupun soalan sudah bocor sekalipun, rasa gugup dan takut itu masih ada kerana bimbang di dalam dewan peperiksaan nanti.




"betul ker soalan yang bocor itu yang keluar?" atau ada juga hati mengeluh..



"tolonglah jangan cuai dalam dewan nanti".



Bermacam ragam dan reaksi yang kita ketahui bila tiba musim peperiksaan ni.




Peperiksaan di anggap sebagai kayu pengukur dari aspek kefahaman pelajar sepanjang tempoh sesuatu pembelajaran. Dan sudah semestinya yang dapat keputusan cemerlang itu mempunyai peluang yang lebih besar tuk memperolehi pelbagai imbuhan dan implikasi. Begitulah pentafsiran kita mutakhir ini. Majoritinya, masing-masing ingin berjaya, ia adalah fitrah sebagai seorang manusia yang menginginkan sesuatu yang indah dan kejayaan memuaskan hati masing-masing. Indah dan kejayaan itu tidak dinafikan, terdapat pelbagai cabang jalan dan menjadi keselesaan tuk seseorang itu memilih jalan dan cara tersendiri. Tapi, kejayaan dan kekayaan macam mana yang ingin kita raih?




"Dan menjadi hak Allah menerangkan jalan yang lurus, dan di antaranya ada jalan yang menyimpang. Dan jika Dia menghendaki, tentu Dia memberi petunjuk kamu semua (ke jalan yang benar)."   An-Nahl: 9




Yang menjadi asas sesuatu kejayaan dan kekayaan yang ingin kita kecapi baik di dunia dan di akhirat, pastilah yang bertunjangkan syariat Islam. Apa yang dimaksudkan syariat Islam? Ada sesetengah pihak menganggap Islam hanyalah mengongkong dari melakukan pelbagai perlakuan dan aktiviti di masa kini, hingga melabelkan Islam itu kolot dan sudah lapuk. Seperti yang digambarkan di atas, jika ingin berjaya dalam peperiksaan, sudah tentulah kena tahu dan faham, baik pemahamannya serta cerdas fikirannya untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan dalam kertas peperiksaan. Walaupun soalan sudah bocor sekalipun, masih ada kesilapan pada jawapannya, mengapa?




Kerana manusia ini mudah lupa, dan cepat lalai. Fokus dan ketelitian dalam menjawab itu sangat penting dan tidak dilupakan juga tawakal kepada Allah S.W.T kerana Dia yang sudah semestinya menentukan sama ada usaha berhasil atau tidak. Ok, sekarang cuba kita ambil gambaran menjawab peperiksaan ini dan juga menjalani kehidupan di atas muka bumi Allah azza wa jalla ini. Kehidupan kita saling tidak tumpah dengan situasi peperiksaan, dengan tidak dapat menduga soalan-soalannya begitulah juga kita yang tidak dapat menjangkakan ujian-ujian yang bakal Allah uji pada kita. Peperiksaan itu kira cukup elok lagi sebab kita tahu tarikh peperiksaan  untuk bersedia tapi ujian Allah, siapa yang sangka? Dan menjadi suatu kemestian bagi kita yang mengaku beriman dan mengucap lafaz syahadah untuk lebih dan sentiasa bersedia tuk hadapi ujianNYA.




Jika dalam pembelajaran kita adanya subjek dan silibus begitu juga dalam menghadapi ujian Allah S.W.T ada rangka pembelajarannya. Allah bukan kejam, Allah Maha Adil, jika dalam peperiksaan guru atau pensyarah tak bagi soalan bocor, pasti hura-hara dan tak senang duduk dibuatnya. Tapi Allah S.W.T telah bagi perkhabaran kepada kita, tips-tips dan pesanan tuk kita hadapi ujian. Allah telah turunkan Al-Quran kepada umat Muhammad S.W.T tuk bersedia menghadai akhir zaman ini di mana ujiannya sangatlah besar di mana Dajjal akan keluar untuk menyebarkan fitnah yakni kerosakan, tapi mengapa kita tidak endahkan khabaran dan tips-tips dari Allah ini?




"Dan (Al-Quran) ini adalah penjelasan (yang sempurna) bagi manusia, agar mereka diberi peringatan dengannya, agar mereka mengetahui bahawa DIA adalah Tuhan yang Maha Esa dan agar orang yang berakal mengambil pelajaran"   Ibrahim: 52




"Sungguh, telah berlaku sebelum kamu sunnah-sunnah (Allah) kerana itu berjalanlah kamu ke (segenap penjuru) bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orng yang mendustakan (para Rasul). Inilah (Al-Quran) suatu keterangan yang jelas untuk semua manusia, dan menjadi petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa."   Ali-Imraan: 137-138




"ala..manusia ada nafsu..sering lalai.."



"nanti aku taubatla.."



"tua nanti aku pergilah haji, taubat kat depan kaabah,mesti Allah makbulnya.."




Mungkin itulah kata-kata hati kita..Ya, memang manusia ada nafsu dan diganggu dengan pujuk rayu syaitan, dan bukannya Allah kejam. Allah sudah bagi tahu dalam Al-Quran dan melalui sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W untuk tidak termakan dengan segala pujuk rayu syaitan serta nafsu, bahkan itulah hikmahnya amar maa'ruf nahi munkar seperti yang diperintahkan. Syaitan sendiri mengakui di dalam Al-Quran bahawa janji-janji Allah itu benar, tapi masih kita mudah terpedaya kerana ceteknya ilmu dalam menghadapi ujian-ujian Allah S.W.T.




"Dan Syaitan berkata ketika perkara (hisab) telah diselesaikan, "sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri..."   Ibrahim: 22




Kita terlalu sombong dan bongkak di atas muka bumi ini. Lupa siapa Tuhan, siapa hamba, kalau orang gaji perangai macam kita ni, sudah tentu dah kena pecat dengan majikannya. Tapi Allah tidak, Allah tidak pecat dan buang kita dari agamaNya selagi kita masih tidak mensyirikkanNya. Bahkan Allah sentiasa memberi peluang untuk kita kembali padaNya. Dan ini bukanlah juga alasan untuk kita melengah-lengahkan taubat kita. Jika itulah detik dan niat di hati, kita khuwatir Allah sudah tutup dan butakan hati kita atau roh kita dijemput pulang sebelum pertaubatan.




"Maka masuklah pintu-pintu neraka Jahannam, kamu kekal di dalamnya. Pasti itu seburuk-buruk tempat orang yang menyombongkan diri."   An-Nahl: 29





Sebagai renungan kembali, jika peperiksaan kita mengambil berat untuk berjaya menjawabnya, maka janganlah kita meringan-ringankan tuk menghadapi ujian dari Allah. Jika peperiksaan kita sibuk belajar bersungguh-sungguh, maka bersungguh-sungguhlah juga untuk memahami intipati tujuan penciptaan kita agar tenang dan sejahtera iman dan amal kita untuk bertemu denganNya.  Jika peperiksaan itu menjamin peluang kerjaya serta kekayaan, maka Allah jua pemberi rezeki dan kejayaan itu. Jangan di anggap mudah tuk peroleh syurga kalau urusan dan tanggungjawab yang Allah berikan pun kita ambil tak endah.

Syurga itu dihuni para rasul dan nabi, maka penghuninya pastilah yang terbaik.

8 May 2015

Seputar isu 'Artificial Intelligence'


Disebabkan perbicaraan mengenai topik 'artificial intelligence' ini adalah sesuatu yang masih lagi di dalam ruang lingkup hypothetical, di mana AI seperti Ultron masih tidak tercapai di alam realiti ini, makanya saya sekadar mampu untuk menulis dalam konteks pandangan peribadi. Berdasarkan fakta-fakta anekdot semata-mata yang tidak disokong oleh fakta-fakta empirikal.

Bagi sesiapa yang telah menonton filem terbaru Avengers: Age of Ultron, atau pun sekadar sempat menonton trailer filem tersebut, pasti anda tahu bahawa Ultron adalah sebuah (atau seorang?) robot yang punya kesedaran atau mindanya sendiri. Punya AI. Ultron merasakan manusia ini adalah faktor utama yang menyumbang kepada kerosakan alam dan maka wajarlah manusia ini dihapuskan serta-merta. Dan penonjolan watak AI yang jahat sebegini adalah bukan sesuatu yang baru dalam dunia Hollywood atau dalam mana-mana media fiksyen yang lain. Tetapi jangan pula dilupakan filem-filem lain yang turut sama menyentuh isu AI, seperti A.I. Artificial Intelligence, Bicentennial Man atau yang paling baru, Chappie. Watak utama iaitu robot dalam filem-filem ini menampilkan AI yang 'baik'. Tidak memberi ancaman kepada manusia malah di satu tahap, menyelamatkan manusia.

Apakah itu intelligence?

Sebelum kita bicara dengan lebih lanjut mengenai AI, kita perlu lihat dahulu, apakah itu 'intelligence'?

Jawapan pendek; saya tidak tahu dan tidak jumpa jawapannya.

Jawapan panjang; tiada kata putus yang boleh dicapai oleh para pemikir sehingga sekarang. Kerana intelligence atau kebijaksanaan adalah sesuatu yang sangat subjektif dan apabila seseorang mahu membincangkannya, ia perlu juga disertakan sekali dengan membicarakan juga apakah itu consciousness (kesedaran). Dan konsep 'kesedaran' itu juga sesuatu yang sukar untuk dikaji dan diuji. Ia masih di dalam konteks falsafah. Pelbagai persoalan boleh ditimbulkan apabila bercakap mengenai intelligence ini. Kebijaksanaan itu pula adakah hanya dalam konteks kognitif semata-mata? Bagaimana pula dengan keupayaan seseorang untuk menilai emosi manusia? Perbincangan ini boleh juga adalah sesuatu perkara yang relatif mengikut peredaran masa dan budaya.

Pendekatan secara top-down dan bottom-up

'Top-down' dan 'bottom up'. Kedua-dua ini adalah satu pendekatan dalam menghasilkan satu sistem AI.

Apabila anda ingin hasilkan robot yang terus mampu untuk berfikir, mengira, menulis, membaca dan bercakap sebaik saja anda menghidupkannya, itu adalah pendekatan secara top-down. Bermaksud, anda telah menulis program di dalam 'otak' robot itu dari awal pembikinannya. Serta-merta dia sudah tahu bagaimana untuk berkelakuan dan berfikir seperti manusia. Contoh mudah, Ultron.

Bottom-up pula adalah yang disebaliknya. Mesin atau robot itu perlu belajar beberapa kemahiran tertentu untuk betul-betul dikatakan bijak. Seperti bayi yang baru lahir. Ia perlu belajar secara 'trial and error'. Perlu selalu membuat kesilapan dan dalam masa yang sama perlu kenal kesilapan itu dan tidak akan mengulanginya di masa depan. Seperti bayi kecil yang membesar. Contoh mudah, boleh dilihat dalam filem Chappie. Dan bagi saya, pendekatan ini yang lebih menyerupai manusia.

Dua cara pendekatan ini punya kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Top-down memerlukan kapasiti pemprosesan komputer yang tinggi untuk membuat kiraan atau keputusan dalam masa yang sangat pantas. Bottom-up pula, seakan anak yang membesar, akan mengambil masa yang lama.

Kerisauan yang melanda

Stephen Hawking mengatakan bahawa usaha untuk membangunkan teknologi AI ini adalah sesuatu yang bahaya. Beliau takut sistem AI ini nanti akan mahu bebas dan tidak mahu menurut kod asas programnya. Menurut pendapat-pendapat pemikir lain pula, kemungkinan sistem AI ini akan mencapai satu konklusi bahawa manusia hanyalah sekadar susunan atom yang membentuk suatu jasad yang sama sahaja dengan haiwan, tumbuhan atau batuan dan pepasir di bumi ini. Manusia sekadar pembolehubah (variable) dalam persamaan matematik yang membentuk alam semesta. Seperti dalam persamaan matematik dan eksperimentasi sains, pembolehubah boleh dimanipulasikan; sama ada untuk ditambah, ditolak atau dihapuskan secara terus. Kerana apa yang penting, matlamatnya adalah untuk mencapai keseimbangan persamaan matematik itu. Kelangsungan hidup alam semesta secara keseluruhan.

Pada pendapat saya, kekhuatiran ini ada asasnya juga. Tetapi harus juga diingat, manusia memang takut pada sesuatu yang mereka tidak tahu. Fear of the unknown. Orang pada zaman dahulu takut untuk belayar jauh kerana khuatir apabila sampai di hujung dunia, kapal akan jatuh di tebing lautan.

Hakikatnya pada waktu sekarang, AI sudah ada di sekeliling kita. Apabila anda selesai menonton satu video di YouTube, akan disertakan cadangan video di sebelah kanan untuk tontonan yang seterusnya, berdasarkan jenis video yang anda tonton sebentar tadi. Enjin carian Google akan betulkan ejaan atau penyusunan ayat anda dalam mencari maklumat yang anda cari itu. Aplikasi smartphone Waze akan membetulkan laluan anda jika anda terlepas selekoh tadi. Semua ini adalah satu sistem AI yang memberi manfaat pada manusia. Tetapi dalam bentuk yang primitif.

Penutup bicara

Jalan terbaik, jika anda yang membaca ini punya aspirasi dan cita-cita untuk menghasilkan satu sistem AI secanggih JARVIS, teruskan kajian anda. Kerana apa yang menariknya dalam bidang AI ini, secara tidak langsung kita akan dapat belajar mengenai diri kita sendiri. Apakah yang menyebabkan kita punya consciousness? Bagaimana kebijaksanaan ini terbentuk? 

"Manusia sebaik-baik ciptaanNya"


Oleh Sharir Shazni

30 Apr 2015

Tiang Untuk Berbumbung



Tidak terdiri dan terbinanya sesuatu struktur yang dapat melindungi kita dari panas dan hujan melainkan koordinasi tiang yang betul serta kukuh. Dalam sesuatu pembangunan dan senibina, koordinasi tiang dan struktur asas sangat penting dalam menjamin sesuatu keselamatan pengguna dan juga penghuni.

Bagaimana ingin tinggal di dalam rumah yang tidak berbumbung? Apakah gunanya tiang terdiri tapi tidak mahu "construct" dindingnya dan juga bumbungnya. Akhir sekali, projek terbengkalai, dan bangunan kita tidak dihuni melainkan semak, haiwan liar juga makhluk ghaib.

Sebelum nak dirikan tiang, pasti ada planning dan juga idea untuk membina sesuatu design bukan? Mana mungkin terus menerus dibinanya. Architect sudah tentu ada ideanya, cantik, form, concept, dan macam-macam lagi. Matlamat akhirnya adalah untuk keselamatan, perlindungan, iconic dan keselasaan. Tapi perlindungan yang macam mana yang kita mahukan?

Begitu juga dalam kehidupan kita, islam. Betapa cantiknya Allah mengatur ad-deen ni, bermulanya dengan concept iman. Baru boleh membangunkan tiang. Concept iman itu rukun iman kita dan tiang itu rukun islam kita. Concept dan tiang ini sangat penting dalam merealisasikan sesuatu senibina dan design itu sendiri. Jika concept lemah dan tidak kukuh justifikasinyamacam mana lecturer atau client mahu terima. Serupa juga dengan koordinasi dan planning tiang kita, jika koordinasi dan planning yang tidak betul, natijahnya design hancur, runtuh dan tidak selamat. Manusia pun takut ingin berlindung dalam design yang tidak selamat.


Daripada Abi Abdul Rahman Abdillah bin Umar bin al-Khattab r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

"Islam didirikan atas lima perkara iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat,mengerjakan haji ke Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadhan."  H.R.Al-Bukhari

Begitulah apa yang disebut sebagai rukun-rukun yang selama ni kita hafal dan ingat sejak di bangku sekolah. Hafal dan Ingat. Tapi kita belum tentu faham. Bila ada tiang, ia tetap tidak mampu membangunkan sesuatu perlindungan kepada kita,dari hujan atau panas. Ia perlu dilengkapi penuh dengan elemen-elemen lain seperti dinding, bumbung, tingkap, pintu, elektrik, perabot dan juga susunatur space dan program sesuatu design tu supaya design tu dianggap berjaya.

Rukun iman dan Rukun islam adalah asas, fundamental, foundation and acts. Ia adalah pendokong untuk sesuatu kekuatan amal ibadah yang lain seperti syariah, muamalat, dakwah, munakahat, dan lain-lain. Lemah koordinasi dan binaan tiang ini akan membawa kesan buruk pada aspek-aspek di atas. Islam bukan sekadar rukun, tapi ia menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan manusia. Islam adalah sistem hidup, dan rukun-rukun ini adalah tiang sebuah bangunan. Itulah yang harus kita fahami sebagai hamba,pemimpin dan juga orang yang beriman. Realiti kini, kita menyangka cukup sekadar mendirikan tiangnya. Tidak berbumbung, tiada dinding, tidak dipasang elektriknya, tiada kelengkapan perabot. Kita menyangka cukup sekadar mengetahui rukun iman, melaksanakan kelima-lima rukun islam, tapi tiada usaha dalam dakwah, tarbiah, perlaksanaan syariah, membina keluarga islami, beradab dalam pergaulan bermasyarakat, berakhlak dalam muamalat. Manusia sudah lari dari fitrahnya, mengejar yang material lalu lalai untuk membawa manusia kepada sifat manusiawinya.


"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu."  Al-Baqarah: 208

Bila kita fahami tiang dan concept ini sebaiknya, barulah kita dapat membina sebuah design yang boleh kita bumbungi dan berlindung dengan selamat. Allah menjadikan islam ini tuk keselamatan kita di dunia. Kerana Dia tahu dunia memang indah hingga melenakan kita semua. Tapi yakinilah kita,jika dunia di anggap indah, syurga itu jauh lebih indah nikmatnya. Dengan kefahaman rukun islam dan rukun iman ini, kita nak bangunkan sistem design ad-deen yang menyeluruh, agar Islam itu capai matlamat akhirnya dan sesuai dengan maksudnya iaitu salam atau selamat. Supaya Islam itu menaungi kita di dunia ini bermula dari dalam diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, negara kita hinggalah ke sebuah ketamadunan.

"...Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu..."  Al-Maidah: 3

20 Apr 2015

Berapa Besar Gelas Kita ?



Malam semakin larut. Badan yang penat setelah bermain futsal masih tidak hilang. Ahmad dan rakan-rakan yang lain lepak di restoran mamak berhampiran pekan, perkena air isotonik bagi merawat badan yang terhidrasi ketika bersukan. Yang lain ada juga yang pesan makanan. Supper kata mereka.

“Hang tak makan ker Ahmad?” Soal Hamdi.

“Makan la sikit, tak gemuk lah kalau makan sikit malam ni. Bukan selalu…” Pujuk Salleh dengan mempelawa roti telur miliknya.

“Uish….aku tak makan sangat malam-malam macam ni, nanti susah bangun subuh.” Jawab Ahmad ringkas dan rasional.

Dua meja makan restoran tersebut yang Ahmad dan rakan-rakan lain penuhkan bersebelahan dengan sebuah meja dengan sekumpulan pemuda sambil menghembus-hembus asap shisha yang mereka langgani. Ahmad hanya melihat, lihat tembus menembusi kepulan-kepulan asap tersebut. Merenung jauh Ahmad melihat gelagat mereka di meja tersebut. Memikirkan ragam, budaya, dan nasib pemuda hari ini kesan dari pengaruh-pengaruh yang tidak baik yang gagal ditapis oleh masyarakat sendiri.

“Ahh….aku ini buruk sangka pula. Takkan mereka duduk shisha terus kau melabel mereka teruk Ahmad?” Ahmad bermonolog sendiri. Cuba meluruskan sangkaannya agar sentiasa memandang dengan baik dan kasih sayang.

“Bos! Tambah lagi air tin ni satu ya!” jerit Imran kepada seorang mamak yang ambil order mereka.

Imran masih muda. Masih seorang pelajar menengah atas dari aliran sains tulen dari sebuah sekolah agama. Ahmad dan rakan-rakan bukan sebaya, bercampur pelbagai umur dan kerjaya. Bagi Ahmad, amat menarik untuk bergaul bersama dari pelbagai latar belakang pendidikan, umur dan kerjaya. Banyak yang boleh dipelajari formal dan tidak formalnya. Memahami psikologi dari setiap aspek dari setiap latar belakang. Kepelbagaian tadi langsung tidak merencatkan pergaulan sesama mereka.

Gelas dan cawan yang memenuhi meja mereka menarik minat Ahmad seketika. Ahmad tersenyum lalu mengambil satu per satu gelas dan cawan tersebut. Gelagat Ahmad diperhati oleh Hamdi, Salleh, Imran dan yang lain.

“Hang buat apa tu Ahmad?” Soal Salleh.

Hamdi menyampuk “ada lah tu yang dia nak cerita lepas ni”

“Korang rasa, kalau aku susun gelas dan cawan ni meninggi secara piramid, dan hanya satu gelas sahaja di puncaknya kemudian aku tuangkan air ke dalam gelas tersebut sampai penuh, air melimpah tak ke dalam gelas dan cawan-cawan di bawahnya?” Ahmad menyoal dengan mengharapkan jawapan dari rakan-rakannya. Salleh menjawab spontan,

“Melimpah, tapi tumpah. Tak semua air yang melimpah tadi masuk ke dalam gelas dan cawan tadi.”

“Kalau hang susun piramid secara bulatan tapaknya, aku rasa dapat kurangkan air yang tumpah tadi.” Imran memberi cadangan kepada Ahmad. Ahmad tersenyum puas kerana rakan-rakannya menjawab persoalannya dengan rasional sekali. Ahmad tahu, secara teorinya, air yang melimpah akan mengalir ke dalam gelas dan cawan di bawahnya kerana hukum graviti dan kapilari yang membenarkannya dengan izin Allah.

“Kalau gelas yang paling atas tadi bertukar saiznya kepada lebih besar secara berkala, agaknya banyak tak air yang melimpah dapat kita kumpulkan?” Ahmad menyambung perbincangannya dengan rakan-rakan.

“Makin kurang dan lambat lah air nak melimpah, ruang semakin besar, semakin banyak air yang perlu memenuhinya dahulu.” Imran menjawab dengan yakin.
“Betul!” bentak Ahmad dengan tegas sambil membelek gelas dan cawan-cawan tadi. Hamdi tidak senang duduk, kerana mengetahui ada perkara yang Ahmad ingin tegaskan melalui perbincangan tadi. Hamdi bertanya,

“Apa yang hang nak cerita sebenarnya Ahmad?”

“Gelas yang di atas adalah keperluan dan kehendak kita, manakala yang di bawah adalah hak-hak masyarakat. Keperluan kita hanyalah ruang di dalam gelas yang mempunyai batasnya, kehendak kita pula adalah saat tindakan kita menukar saiz gelas tersebut. Air yang dituang itu adalah rezekiNya, dan yang terlimpah itu adalah pendapatan kita di mana ada hak buat gelas dan cawan di bawah.” Jelas Ahmad.

“Maksud hang, kita tidak boleh tukar saiz gelas kita?” Soal Salleh kepada Ahmad yang masih membelek gelas tersebut.

“Bukan tidak boleh tukar, tapi sampai bila baru kita akan berhenti untuk menukarnya? Sampai satu had, kita tak bisa Salleh, tak bisa nak minum gelas yang lebih besar. Cuba bayangkan jika kita lebih kenal had (keperluan) kita, air yang terlimpah lebih cepat berbanding jika kita sering menukar saiz gelas kita, lambatlah air itu nak melimpah ke bawah.” Ahmad menoleh kepada seorang makcik yang bekerja keras menjual kerepek dari satu meja ke meja yang lain. Rakan-rakan lain mula menangkap isi hati Ahmad yang cuba Ahmad sampaikan kepada mereka.

“Air yang sudah melimpah ke bawah dapat pula memenuhi gelas dan cawan di bawah lalu mereka pula dapat limpahkan kepada yang lebih bawah daripada mereka. Gelas dan cawan mengikut fitrah hadnya, lalu air akan melimpah. Jika kita boleh ikut fitrah kita?” Ahmad menambah lagi.

“Maka benarlah apa yang Allah firmankan di dalam surah al-quran bermaksud "Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka (bersedekah) pada jalan Allah laksana sebiji (benih) yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada siapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." (Al Baqarah: 261). Imran bersetuju dengan penjelasan Ahmad.

“Kita asyik dengan gelas sendiri hingga lupa gelas yang di bawah. Kita asyik menukar gelas yang lebih besar hingga lambat melimpahkan kepada yang di bawah. Apabila ada lebihan dibelanjakan pada yang tidak diperlukan, sedang yang memerlukan menagih lebihan kita.” Ahmad bermonolog pada diri sendiri. Berpesan pada diri sendiri.



“Ok, jom habiskan makanan kita, dah lewat dah ni. Nanti lambat pula bangun subuh haha” cadang Hamdi apabila melihat yang lain semua diam, kelu. Mungkin sedang berfikir apa yang Ahmad kongsikan.